Tukang kayu ditahan, terlibat 5 kes pecah rumah
Tukiman (tengah) bersama Sarjan Mejar (SM), AVasu (kanan) dan Sarjan Harun Ali menunjukkan barang kes pecah rumah, semalam.
JEMPOL - Seorang tukang kayu tidak sempat dibuai mimpi berikutan dia dicekup sekumpulan anggota polis pada 20 April lalu kerana dipercayai terlibat lima kes pecah rumah membabitkan kawasan Bahau, di sini.

Timbalan Ketua Polis daerah Jempol, Deputi Superintendan, Tukiman Seriman berkata, suspek berumur 31 tahun ini dikatakan aktif melakukan aktiviti pecah rumah sekitar April dengan menggunakan modus operandi yang sama iaitu dilakukan pada waktu siang.

Menurutnya, pihak polis menerima lima laporan mengenai kejadian pecah rumah di beberapa buah taman perumahan sekitar Bahau.

“Hasil siasatan awal pihak polis, suspek akan memanjat tembok di bahagian belakang rumah mangsa. Kemudian membuka atap untuk masuk ke dalam dengan memecah siling.

“Sebelum melakukan pecah rumah suspek akan menekan loceng rumah mangsa, bagi memastikan pemilik ada atau tidak.

“Bagaimanapun, kita percaya suspek berkemungkinan melakukan kegiatan jenayah ini lebih daripada seorang,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Jempol (IPD), semalam.

Tukiman berkata, namun terdapat beberapa barang hasil pecah rumah itu dijual dan digadaikan di beberapa buah kedai yang kawasannya sudah dikenal pasti.

“Kita juga merampas sebuah mesin grinder, sebatang kuku kambing, dan segulung wayar sepanjang 15 meter yang digunakan sebagai peralatan pecah rumah.

“Manakala nilai kerugian bagi lima kes ini  lebih kurang RM70 000 yang mana separuh barang rampasan berkenaanditemui di kediaman suspekdekat pekan Bahau. Kes ini disiasat dibawah Sekyen 457 kanun keseksaan, ” katanya.

Untuk rekod, antara barang lain yang turut dirampas, wang tunai dari mata wang Australia, Singapura dan Hong Kong, masing-masing satu resit jual beli emas, gelang tangan, cincin, rantai dan beberapa barang berharga lain.

Suspek yang tidak mempunyai rekod kesalahan lampau ini direman selama empat hari bermula 20 April sehingga hari ini.