Search This Blog

Thursday, April 11, 2013

Tujuh buaya berjemur jadi tarikan

Tujuh  buaya berjemur jadi tarikan
Kemunculan seekor buaya di tasik Kampung Permatang Arang, Pekan menyebabkan kawasan berkenaan menjadi tumpuan orang ramai. - Foto Eddy Osman 

Pekan: Penduduk di kawasan Kuala Pahang, dekat sini, dikejutkan dengan kemunculan tujuh buaya di tasik Kampung Permatang Arang, di sini, kelmarin.

Berikutan itu, kawasan sekitar tasik itu yang terkenal dalam kalangan kaki pancing di daerah ini, kini menjadi tumpuan orang ramai yang mahu melihat sendiri reptilia berkenaan.
Nelayan, Ramli Muda, 43, berkata dia melihat kelibat buaya itu ketika memancing di tasik berkenaan kira-kira jam 9 pagi Selasa lalu.


“Saya sendiri nampak dua buaya muncul di permukaan air tasik sebelum tenggelam dan hilang daripada pandangan.

“Tiba-tiba seekor daripadanya timbul semula sebelum berenang ke pinggir tasik dan merangkak ke Sungai Siong yang juga anak Sungai Pahang,” katanya.

Ramli yakin bahawa reptilia itu dari sungai berkenaan dan muncul di tasik untuk mencari makanan.

Sementara itu, seorang remaja, Sheikh Mohd Kahirul Anuari Sheikh Abdul Rahman, 19, berkata dia sempat merakam gambar buaya berkenaan ketika mengunjungi tasik berkenaan bersama dua lagi rakannya pada Isnin lalu.
Buaya berjemur

“Buaya ini bersaiz tiga meter panjang. Walaupun takut, saya kuatkan semangat untuk pergi lebih dekat untuk merakam gambar kerana saya yakin reptilia berkenaan sedang berjemur,” katanya yang berasal dari Kampung Beruas, di sini.

Sementara itu, seorang guru, Abdul Rahim Omar berkata, tasik itu terbentuk akibat aktiviti mengorek pasir bagi projek pembinaan kampus Universiti Malaysia Pahang.

“Sebelum ini tiada tasik di situ sebaliknya ia kawasan hutan. Sekarang, air sungai mengalir ke dalam tasik terutama ketika air pasang dan hujan lebat,” katanya.

Beliau berkata, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) sudah dimaklumkan mengenai perkara itu dan sudah meletakkan papan tanda bagi memberi amaran kepada pengunjung tasik berkenaan.

No comments:

Post a Comment