Tidak pernah serik!
Antara tukang urut yang ditahan dalam serbuan berasingan di sekitar MPSJ.
SUBANG JAYA - Pengusaha premis haram di sekitar Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) masih meneruskan kegiatan mereka tanpa kebenaran pihak berkuasa tempatan (PBT) meskipun sudah banyak kali dikenakan tindakan.

Malah difahamkan, ada pusat siber pernah disita lebih lima kali kerana menawarkan aktiviti perjudian, namun pengusaha tidak serik untuk menjalankan operasi meskipun peralatan dirampas.

Sehubungan itu, bermula minggu lalu, Jabatan Penguat Kuasa MPSJ menjalankan beberapa operasi berasingan seterusnya mengenakan tindakan terhadap 20 premis membabitkan pusat siber, rumah urut dan pusat hiburan.

Pengarah Jabatan Penguat Kuasa MPSJ, Mejar (B) Mohd Rasip Rasul berkata, bertindak atas maklumat awam dan risikan anggota, pihaknya menjalankan serbuan ke semua premis yang terletak di Subang Jaya, Puchong dan Seri Kembangan itu.

Menurutnya, sebanyak 12 pusat siber disita dan 155 set komputer dirampas di bawah UUK 3 Undang-undang Kecil Pusat Siber MPSJ 2007 kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen sah.

Malah katanya, dalam operasi berasingan, empat rumah urut turut disita dan dikenakan tindakan bawah UUK 3 Undang-undang Kecil Pusat Kesihatan MPSJ 2007 kerana mengendalikan pusat urut tanpa lesen sah.

"Tukang urut warga asing yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri sah diserahkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut, manakala pengusaha premis pula berdepan denda maksimum sebanyak RM1,000," katanya.

Dalam pada itu, Mohd Rasip berkata, empat pusat hiburan dipercayai menjalankan operasi tanpa kebenaran sejak setahun lalu turut diserbu dan bakal dikenakan tindakan di bawah di Seksyen 6(1) Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan Selangor 1995 (pindaan 2001).

"Pengusaha terbabit bakal berdepan denda maksimum sebanyak RM25,000," katanya.