Terkejut rumah dipenuhi air
Siti Khalijah menunjukkan bahagian rumahnya yang rosak teruk.
TUNJANG, Kubang Pasu - Seorang ibu tunggal panik apabila bumbung rumahnya diterbangkan angin dalam kejadian ribut di Kampung Pida 2, Telok Bilek, dekat sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, Siti Khalijah Jasin, 43, kebetulan sedang berehat di dalam rumahnya dan menyedari bumbung rumahnya tiada selepas mendapati air bertakung di lantai bahagian atas rumahnya.

Menurutnya, dia bergegas keluar rumah apabila terdengar bunyi seakan papan jatuh dan kemudian mendapati keseluruhan bumbung rumahnya diterbangkan angin.

“Pada mulanya kami sekeluarga tidak sedar mengenai kejadian ini sehinggalah mendapati lantai bahagian atas rumah bocor.

“Bunyinya tidak terlalu kuat kemungkinan disebabkan hujan terlalu lebat serta angin kuat pada waktu itu dan menyukarkan kami untuk mengenal pasti keadaan rumah,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, kejadian angin kuat yang berlaku dalam tempoh setengah jam itu mengakibatkan banyak berlakunya kerosakan terutamanya melibatkan peralatan elektrik dan bahagian bumbung rumahnya.

“Untuk sementara waktu ini kami sekeluarga terpaksa menumpang di rumah kakak,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Kampung Pida 2, Telok Bilek, Mohd Rejab Ahmad berkata, pihaknya mengenal pasti sebanyak 15 rumah di kampung berkenaan terlibat dalam kejadian ribut.

Menurutnya, hujan lebat berserta angin kuat memusnahkan kediaman penduduk terutamanya di bahagian bumbung.

“Ada rumah yang bumbung mereka diterbangkan angin dan ada yang mengalami kerosakan akibat dihempap pokok tetapi ia sudah dibersihkan dengan gotong-royong bersama penduduk.

“Saya sudah memaklumkan kepada penduduk terlibat untuk membuat laporan polis berhubung kejadian,” katanya.