Search This Blog

Thursday, April 11, 2013

Syarikat kiriman wang dirompak



Anggota polis berkawal di hadapan syarikat kiriman wang yang dirompak oleh empat penjenayah melibatkan wang berjumlah RM300,000 di Jalan Dato Sheikh Ahmad di Seremban, Negeri Sembilan, kelmarin.
SEREMBAN 10 April - Sekumpulan empat perompak bersenjatakan pistol dan parang hanya mengambil masa beberapa minit sahaja untuk melarikan sejumlah RM300,000 dari sebuah syarikat kiriman wang di Jalan Dato Sheikh Ahmad di sini petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4.20 petang itu, suspek yang datang menaiki tiga motosikal bersenjata sepucuk pistol dan parang menyerbu masuk ke premis itu semasa tiada pelanggan.
Jurucakap polis berkata, salah seorang penjenayah yang bersenjatakan pistol telah mengacukan senjatanya ke arah seorang pengawal keselamatan di premis itu.
"Tiga lagi suspek mengarahkan empat pekerja di premis berkenaan supaya diam sebelum meminta mereka memasukkan wang tunai berjumlah kira-kira RM300,000 ke dalam sebuah beg," kata jurucakap itu di sini hari ini.
Beliau berkata, selepas mendapat wang, kumpulan penjenayah tersebut melarikan diri menaiki tiga motosikal yang diletakkan berhampiran premis berkenaan.
Katanya, pekerja syarikat yang panik kemudian menghubungi majikan mereka untuk memaklumkan kejadian itu sebelum membuat laporan polis.
Tambahnya, dalam kejadian itu, tiada mangsa yang cedera dan polis sedang menjalankan siasatan lanjut termasuk meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) untuk mengesan suspek yang terlibat.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin ketika dihubungi hari ini, mengesahkan kejadian tersebut dan memberitahu bahawa kes itu disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130411/je_06/Syarikat-kiriman-wang-dirompak#ixzz2Q9SU0H9l
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment