Search This Blog

Tuesday, April 23, 2013

Suspek tak serik edar dadah dicekup lagi




Chukai: Seorang lelaki yang sudah beberapa kali dicekup kerana melakukan kesalahan berkaitan dadah, ditahan sekali lagi malam kelmarin kerana disyaki mengedar heroin, syabu dan pil kuda.

Lelaki berusia 32 tahun itu yang beralamat di Paya Berenjut, Chukai ditahan di Kilometer 134 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan dekat Kijal ketika menunggang motosikal, kira-kira jam 9 malam.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Che Suza Che Hitam berkata, hasil pemeriksaan yang dilakukan pada badan suspek, polis menemui dadah dalam beg pinggang yang dipakainya.

Anggota polis menemui dua paket syabu seberat 2.1 gram, tujuh paket heroin (berwarna hijau) 37.18 gram, sebotol heroin (berwarna keputihan) 5 gram dan 20 pil WY.

Dadah ini dianggarkan bernilai lebih RM5,000, selain itu, turut ditemui dalam beg milik suspek ialah seunit alat penimbang digital, katanya di sini, semalam.

Beliau berkata, polis turut menyita motosikal jenis Honda EX5 Dream yang digunakan dan hasil ujian air kencing mendapati suspek positif dadah.

Malah, suspek turut memiliki sembilan rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan tidak pernah serik biarpun banyak kali ditangkap, katanya.

No comments:

Post a Comment