Stor barangan plastik terbakar
Anggota bomba membantu memindahkan barang keluar dari kilang plastik yang terlibat dalam kebakaran, malam kelmarin.
IPOH - Bahagian stor penyimpanan barangan plastik kepunyaan sebuah kilang di kawasan Perindustrian Pengkalan, di sini musnah dalam kebakaran yang berlaku lewat malam kelmarin.

Kejadian tersebut dipercayai berpunca daripada kecuaian beberapa pekerja yang menyelenggara dapur masakan yang terletak berhampiran kawasan tersebut.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 malam itu, beberapa pekerja sedang berehat berhampiran kilang sebelum menyedari api mula marak di kawasan berkenaan.

Kebakaran itu mengakibatkan puluhan tan guni berisi botol dan bahan industri berasaskan plastik terbakar.

Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat, Khairil Adli Zakaria berkata, pihaknya menerima panggilan jam 10.41 malam dan jentera pertama dari Balai Bomba Pasir Putih tiba di tempat kejadian kira-kira tiga minit kemudian.

Menurutnya, tiga jentera dari Balai Bomba Ipoh, Simpang Pulai dan Batu Gajah turut dikerah bagi membantu memadam kebakaran.

“Seramai 27 anggota bomba dibantu anggota bomba Sukarelawan Kampung Pinji berusaha memadamkan kebakaran yang mengakibatkan asap tebal memenuhi kawasan itu.

“Usaha memadamkan kebakaran mengalami kesukaran apabila membabitkan timbunan bahan plastik yang mudah terbakar menyebabkan api mampu dikawal sekitar jam 12.39 pagi semalam namun, kebakaran itu masih gagal dipadamkan sepenuhnya,” katanya.

Kata beliau, kejadian itu menyebabkan anggota bomba dan penyelamat terpaksa menggunakan jentera ‘fork lift’ untuk memindahkan beratus guni berisi bahan plastik bagi mengelakkan kebakaran terus merebak ke kilang berhampiran.

Jelasnya, anggota bomba bertungkus-lumus lebih tujuh jam untuk memadamkan api akibat masalah tekanan air rendah.

“Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca kejadian serta kerugian masih disiasat,” katanya.