Sindiket dadah tumpas
Mohd Mokhtar (kanan) melihat pelbagai barangan yang dirampas bersama suspek yang ditahan.
JOHOR BAHRU – Sindiket penyeludupan dadah tumpas selepas pihak polis berjaya menahan seorang lelaki warga Singapura di sebuah hotel, di sini kira-kira jam 4.30 petang, 16 April lalu.

Ketua Polis Negeri, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, hasil penahanan lelaki berumur 50 tahun itu, membawa kepada penemuan dadah dipercayai jenis pil ecstacy dan ketamin dengan nilai keseluruhan RM250,000.

Menurutnya, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 32 Akta Dadah Berbahaya (Perlucuthakan Harta) 1988.

“Hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah dan turut mempunyai rekod kesalahan jenayah lampau di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Hasil siasatan mendapati suspek dipercayai terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah ke Singapura dan pasaran tempatan,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen, semalam.

Sementara itu, Mohd Mokhtar berkata, pihak polis juga berjaya menyelesaikan 25 kes ragut dan samun di sekitar bandaraya ini hasil tangkapan 22 suspek utama sejak 5 April sehingga kelmarin.

Menurutnya, hasil tangkapan kesemua suspek yang berumur lingkungan 21 hingga 49 tahun turut merampas sepucuk pistol, parang, kapak, telefon bimbit dan topeng.

“Hasil semakan mendapati 11 daripada 22 suspek yang ditahan mempunyai rekod kesalahan lampau.

“Pihak polis sedang mengesan saki-baki kumpulan berkenaan dan akan membuat tangkapan dalam masa terdekat,” katanya.