Search This Blog

Thursday, April 11, 2013

Selesai 8 kes curi, tahan 66 lelaki



Alor Setar: Polis berjaya menyelesaikan lapan kes kecurian motosikal di Daerah Kota Setar, dekat sini, dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini sejak Januari lalu termasuk mendakwa 16 individu ke muka pengadilan.

Ketua Polis Daerah Kota Setar Asisten Komisioner Adzaman Md Jan berkata, pihaknya turut menahan 66 lelaki berusia antara 13 hingga 20-an untuk siasatan selain menemui semula 37 rangka motosikal termasuk beberapa buah motosikal yang belum dileraikan.


“Berdasarkan siasatan terhadap individu berkenaan, polis berjaya menyelesaikan lapan kes sepanjang tempoh tiga bulan pertama tahun ini dan operasi ‘Ops Lejang’ akan diteruskan bagi melumpuhkan kegiatan kecurian motosikal di daerah ini.

“Kes kecurian motosikal di daerah ini tidak membabitkan sindiket, namun kebanyakan kecurian yang berjaya diselesaikan adalah perbuatan individu,” katanya pada sidang media, di sini, semalam.


Menurutnya, pihaknya turut mengesan beberapa lokasi pelupusan rangka motosikal selepas ia dileraikan dan polis akan menjalankan pemantauan di sekitar kawasan berkenaan untuk menahan dalang di sebalik kes itu.


Katanya, kebanyakan individu yang ditahan terdiri daripada juvana yang masih bersekolah dan mereka melakukan kegiatan itu untuk memperoleh pendapatan mudah selain digunakan bagi tujuan perlumbaan haram.

“Pada masa sama, jumlah kes kecurian bagi tiga bulan pertama tahun ini turut menunjukkan penurunan kira-kira 12 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu yang mencatatkan jumlah kes sebanyak 309,” katanya.

No comments:

Post a Comment