Sakit selepas makan malam
Sebahagian pelatih bomba yang keracunan makanan menunggu untuk menerima rawatan di HKKB, semalam.
KUALA KUBU BHARU - Komandan Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Kuala Kubu Bharu, Haron Tahir mengesahkan terdapat lebih 100 pelatih penolong penguasa bomba di akademi itu dirawat di Hospital Kuala Kubu Bharu (HKKB) dipercayai akibat keracunan makanan.

Menurutnya, pelatih berkenaan mula mengadu sakit perut selepas makan malam di kantin akademi itu kelmarin.

“Ada mengadu sakit semalam (kelmarin) dan pagi ini (semalam) mereka dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.

“Sehingga pagi ini semua yang dirawat dilaporkan dalam keadaan stabil,” katanya.

Menurutnya, itu merupakan kejadian pertama berlaku di akademi tersebut.

Katanya, pelatih yang dirawat mengikuti latihan di situ sejak tiga bulan lalu dan mempunyai tiga bulan lagi untuk tamat latihan sebelum menjawat jawatan penolong penguasa bomba.

Difahamkan, jumlah pelatih di akademi itu seramai 238 orang.

“Aduan pertama diterima jam 9 pagi semalam sebelum masing-masing dibawa ke hospital.

“Bagaimanapun, latihan berjalan seperti biasa,” katanya.

Menurut sumber lain, pihak Kementerian Kesihatan telah membuat pemeriksaan di kantin akademi itu awal pagi semalam.