Search This Blog

Saturday, April 27, 2013

Rebah atas bahu drebar




Oleh Hayati Ibrahim, Elrafaei Sapi, Mohd Firdaus Ibrahim, Raja Noraina Raja Rahim dan Raja Puteri Nabiha Raja Ayub

Putrajaya: Timbalan Ketua Pengarah Kastam Diraja Malaysia (KDRM) Bahagian Perkastaman/Cukai Dalam Negeri Datuk Shaharuddin Ibrahim yang mati ditembak semalam, rebah ke atas bahu kiri pemandunya sebaik terkena tembakan.

Dalam kejadian jam 8.15 pagi itu, Shaharuddin, 58, sedang membaca akhbar dan duduk di bahagian penumpang hadapan ketika kenderaan utiliti sukan (SUV) Nissan Murano dinaikinya berhenti di persimpangan lampu isyarat menghala Lebuh Wawasan, di sini. Menurut sumber, ketika itu Shaharuddin dalam perjalanan ke pejabatnya yang terletak tidak jauh dari lokasi kejadian dan pemandunya, Ahmadi Mohamed Jusoh, 45, memberhentikan kenderaan apabila lampu isyarat warna merah.


“Ketika kejadian, mangsa (Shaharuddin) dilaporkan sedang membaca surat khabar sebelum pemandunya mendengar dentuman kuat. Mangsa kena tembakan di leher terus rebah di bahu kiri pemandunya.

“Pemandu mangsa sempat melihat sebuah motosikal dinaiki dua lelaki bergegas meninggalkan lokasi kejadian, namun dia gagal mengecam nombor pendaftaran motosikal itu.


“Malah, wajah kedua-dua suspek juga gagal dilihat jelas kerana mereka memakai topi keledar,” katanya.


Sumber itu berkata, Ahmadi memanggil Shaharuddin beberapa kali namun ketuanya itu sudah tidak sedarkan diri.

Katanya, Ahmadi membawa mangsa ke Hospital Putrajaya (HPJ) sebelum menghubungi ibu pejabat dan isteri mangsa serta membuat laporan di Balai Polis Presint 7, di sini, jam 12.40 tengah hari, semalam.


Menurutnya, polis percaya penjenayah terbabit dipercayai profesional berdasarkan cara tindakan mereka yang menembak mangsa tepat pada sasaran.

“Polis juga percaya mereka sudah mengekori mangsa sejak beberapa hari lalu sebelum melakukan serangan,” katanya.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah yang ditemui di lokasi kejadian berkata, Shaharuddin ditembak tiga das dari jarak dekat dan tembakan itu kena di lehernya.


“Mangsa dipercayai ditembak menggunakan senjata jenis automatik. Polis perlu menunggu hasil bedah siasat sebelum boleh memberi maklumat lanjut.


“Selain itu, polis akan melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) untuk siasatan lanjut,” katanya.


Sementara itu, BERNAMA melaporkan pembunuhan Shaharuddin mungkin mempunyai kaitan dengan tugas beliau sebagai pegawai kanan kastam.


Anak saudara Allahyarham, Roslan Ibrahim, 51, percaya Shaharuddin mungkin mempunyai banyak musuh disebabkan tugasannya di jabatan kastam. “Saya dan Shaharuddin kerap bertemu dan minum bersama dan saya percaya kejadian itu mempunyai kaitan dengan kerjanya,” katanya yang ditemui ketika menemani isteri dan keluarga Allahyarham Shaharuddin di Hospital Kuala Lumpur (HKL), di sini.


Semua anggota keluarga Shaharuddin hadir di hospital itu untuk menunggu proses bedah siasat. Allahyarham meninggal dunia di HPJ pada jam 9.20 pagi.

No comments:

Post a Comment