Rampas ubat tidak berdaftar
Penguat kuasa Farmasi dan MPKB-BRI memeriksa ubat-ubatan dan kosmetik yang tidak berdaftar dijual penjaja di gerai-gerai sekitar Pasar Siti Khadijah semalam.
KOTA BHARU - Cawangan Penguatkuasaan Farmasi Negeri Kelantan berjaya merampas sebanyak 189 produk ubat-ubatan dan kosmetik yang disyaki tidak berdaftar dalam satu serbuan bersepadu bersama Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI) di Pasar Siti Khadijah di sini semalam.

Dalam serbuan yang bermula jam 11 pagi hingga 1 petang itu, pihak terbabit menjalankan pemeriksaan terhadap 10 gerai yang didapati menjual produk berkenaan dianggarkan bernilai RM20,000.

Ketua Cawangan Penguat Kuasa Farmasi Kelantan, Mohd Zahariman Harun berkata, operasi terbabit dilakukan bagi mengesan produk-produk berkenaan yang masih dijual kepada orang ramai dan memberi kesan sampingan kepada si pemakai memandangkan tidak mempunyai kelulusan di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Operasi yang disertai oleh 24 penguat kuasa Farmasi serta 27 anggota penguat kuasa MPKB-BRI itu akan diadakan dari masa ke semasa bagi mengesan produk yang tidak berdaftar serta mengandungi racun berjadual yang boleh membahayakan pengguna.

“Dalam operasi kali ini kita berjaya merampas produk-produk berkenaan yang dijual oleh penjaja di dalam pasar yang tidak mengetahui barangan yang mereka jual itu boleh mendatangkan kesan mudarat,” katanya.

Mohd Zahariman berkata, jika sabit kesalahan di bawah Akta Jualan Dadah 1952  peraturan 7 (1) (a) peraturan-peraturan dadah dan kosmetik sesiapa yang menjual ubat tidak berdaftar akan dikenakan denda RM25,000 atau tiga tahun penjara.

“Manakala di bawah seksyen 13 (a) Akta Racun 1952 yang memiliki bahan keluaran yang mengandungi racun boleh didenda RM3,000 dan penjara satu tahun,” katanya.