Premis dipecah masuk dua lelaki
Kereta mangsa yang ditinggalkan suspek.
KULIM - Sepasang suami isteri warga emas yang menjalankan perniagaan di sebuah restoran di sini berhadapan detik cemas apabila dua lelaki bersenjatakan parang memecah masuk premis mereka kira-kira jam 5.45 pagi kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, ketika kejadian, mangsa baru membuka kedai dan sedang menyusun rokok di kaunter.

Menurutnya, suspek kemudiannya meminta mangsa menyerahkan barangan berharga kepada mereka sekiranya tidak mahu dicederakan.

“Dalam kejadian itu suspek telah berjaya melarikan rokok pelbagai jenis bernilai RM3,000, wang tunai RM4,000 dan beberapa dokumen penting milik mangsa.

"Suspek kemudiannya meminta mangsa menyerahkan kunci kereta jenis Proton Iswara sebelum mengunci mangsa di dalam bilik air," katanya.

Ghuzlan berkata, mangsa yang ketakutan bagaimanapun berjaya keluar dari tandas sebaik sahaja suspek melarikan diri dengan menggunakan kereta mangsa.

"Mangsa kemudiannya membuat laporan polis di Balai Polis Kulim kira-kira jam 6.20 pagi.

"Usaha mencari kereta mangsa yang dilarikan suspek diteruskan dengan bantuan Pertubuhan Prihatin Kebaktian Masyarakat Kulim (PPKM). Kira-kira jam 12 tengah hari ahli PPKM yang membuat rondaan di sekitar ternampak sebuah kereta dalam keadaan mencurigakan. Dari pemeriksaan dijalankan, polis mengesahkan kereta ditemui itu merupakan milik mangsa," katanya.