Search This Blog

Tuesday, April 16, 2013

Potong pesawat terkandas



Bali: Kementerian Pengangkutan Indonesia semalam berkata, pesawat Lion Air yang terbabas dan terhempas berhampiran lapangan terbang Bali kelmarin terpaksa dipotong sebelum boleh dialihkan.

Jurucakap kementerian Bambang Ervan berkata, pesawat Boeing 737-800 itu terlalu berat untuk diangkat.


“Badan pesawat perlu dipotong kepada beberapa bahagian bagi mengelak kemungkinan ia merosakkan terumbu karang,” katanya. Sebelum ini, pihak berkuasa bercadang mengangkat terus badan pesawat udara yang terputus dua itu selepas kemalangan berlaku.

Dalam kejadian Sabtu lalu, pesawat Lion Air dari Bandung itu terbabas dari landasan sebelum terhempas ke laut berhampiran lapangan terbang.


Bagaimanapun, semua 108 penumpang dan anak kapal selamat. Punca kemalangan masih dalam siasatan. Kata Bambang, penyelam juga sukar mengeluarkan perakam suara kokpit dari bahagian ekor pesawat itu yang tenggelam. Sementara itu, tanda tanya timbul di kalangan penganalisis terhadap kemungkinan syarikat Lion Air mengabaikan aspek keselamatan.


Dua tahun lalu, syarikat itu mengumumkan pembelian terbesar dalam sejarahnya apabila memesan 230 pesawat baru Boeing dalam majlis dihadiri Presiden Amerika Syarikat Barack Obama. Lion Air sekali lagi menjadi perbualan bulan lalu apabila syarikat itu menandatangani perjanjian bernilai AS$24 bilion (RM73 bilion) membeli 234 unit kapal terbang Airbus. - AP

No comments:

Post a Comment