Search This Blog

Sunday, April 14, 2013

‘Port’ dadah kena serbu

Foto
Oleh ISKANDAR SHAH MOHAMED
Jasin: Tiga lelaki yang lena tidur, dipercayai selepas selesai membungkus ratusan paket dadah di pondok ladang kelapa sawit Kampung Bukit Katong, Rim di sini, hanya terpinga-pinga apabila ‘dikejutkan’ pihak berkuasa, awal pagi Khamis lalu.
Difahamkan, semua suspek berusia 19 hingga 28 tahun menjadikan pondok itu sebagai ‘port’ membungkus bahan haram yang kemudian dijual kepada pelanggan di sekitar daerah ini.

Kegiatan mereka yang turut mempunyai rekod jenayah lampau itu terbongkar apabila sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) daerah diketuai Sub Inspektor Md Ishak Tajuddin menyerbu kawasan itu, jam 7.15 pagi.
Mengejutkan apabila pemeriksaan lanjut menemui 160 paket dadah, disyaki heroin seberat 265 gram, yang disembunyikan di sebalik pelepah kelapa sawit berhampiran pondok terbabit.

Ketua Polis Daerah Jasin Deputi Superintendan Muhd Nur Hishamuddin Hashim berkata, serbuan dilakukan hasil risikan pihaknya selama tiga minggu berhubung kewujudan aktiviti pembungkusan dadah di kawasan itu.

“Ketika serbuan, tiga lelaki didapati tidur di dalam sebuah pondok dan mereka gagal meloloskan diri apabila menyedari kehadiran polis.

“Hasil pemeriksaan seterusnya menjumpai 160 paket plastik lut sinar berisi serbuk, disyaki dadah jenis heroin yang nilai pasarannya dianggarkan RM35,000,” katanya.

Menurutnya, siasatan awal pihaknya mendapati semua penganggur itu memiliki rekod jenayah lampau berkaitan kes curi kenderaan.
“Selain itu, hasil ujian saringan air kencing mendapati mereka positif dadah jenis syabu dan heroin,” katanya yang tidak menolak kemungkinan kegiatan itu aktif sejak beberapa minggu lalu.

Hishamuddin berkata, suspek direman tujuh hari bagi membantu siasatan yang diklasifikasikan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Katanya, rampasan dadah itu yang terbesar bagi pihaknya sepanjang tempoh empat bulan pertama tahun ini.

“Kita akan sentiasa menjalankan operasi dan pemantauan bagi membanteras kegiatan seumpama itu di daerah ini. Kerjasama orang awam yang menyalurkan maklumat sangat dihargai,” katanya.

No comments:

Post a Comment