Search This Blog

Saturday, April 27, 2013

Pondok Ustaz Bakar hangus




 
Baling: Lebih 90 pelajar Madrasah Nurul Islah atau lebih dikenali Pondok Ustaz Bakar di Parit Panjang, di sini, tinggal sehelai sepinggang selepas premis terbabit musnah dalam kebakaran, malam kelmarin.

Difahamkan, sekurang-kurangnya 15 pondok yang menjadi kediaman pelajar madrasah itu hangus dalam kebakaran yang dipercayai ber-punca daripada lampu minyak tanah digunakan pelajar.
Ketika kejadian, semua pelajar berada di surau kerana menghadiri majlis bacaan Yasin selepas solat Maghrib, jam 8.15 malam.

Ambil wuduk

Kejadian disedari seorang pelajar yang kebetulan terpandang api sedang marak di sebuah pondok ketika keluar mengambil wuduk dan memaklumkannya kepada pihak pengurusan madrasah.

Pengetua madrasah, Mohamad Fadhil Abd Hamid, 34, mengakui api marak dari pondok yang didiami pelajar berusia 13 hingga 18 tahun.

Kami tidak sempat menghabiskan bacaan Yasin lalu bergegas turun untuk memadamkan api menggunakan air paip dan kolah, namun tidak berjaya kerana api marak dengan cepat.
Keadaan juga kelam-kabut kerana kebakaran itu berlaku pada waktu malam. Kami bimbang berlaku kemalangan terutama kepada pelajar, tetapi syukur semuanya selamat walaupun pondok kediaman banyak yang musnah, katanya.

Mohamad Fadhil berkata, 90 pelajar lelaki yang menuntut ilmu agama di madrasah itu dibuka sejak 45 tahun lalu dan tempat tinggal pelajar dibina menggunakan papan.

Tiga kali terbakar

Beliau berkata, ini kali ketiga pondok di madrasah itu terbakar, tetapi ini paling teruk.

Sementara itu, jurucakap bomba dan penyelamat Baling berkata, 13 anggota dengan dua jentera dari Baling dan Sik mengambil masa kira-kira 20 minit untuk memadamkan api dan punca kejadian sedang disiasat.

Sementara itu, Pengerusi Yayasan Pembangunan Rakyat Baling (YPRB), Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim, berkata pihaknya memberi bantuan tilam, selimut dan barangan makanan bagi meringankan bebanan mangsa.

No comments:

Post a Comment