Pondok jadi port bungkus dadah
Muhd Nur Hishamuddin (tengah) menunjukkan dadah jenis heroin yang berjaya dirampas dalam serbuan itu.
JASIN - Polis Bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin, berjaya merampas sejumlah 265 gram dadah jenis heroin yang dianggarkan bernilai RM35,000 dalam satu serbuan di sebuah pondok dalam ladang kelapa sawit, Bukit Katong, Rim, kelmarin .

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Muhd Nur Hishamuddin Hashim berkata, serbuan yang dijalankan kira-kira jam 7.15 pagi itu, berjaya menahan tiga lelaki berusia 19 hingga 28 tahun yang ketika itu sedang tidur bagi membantu siasatan.

Menurutnya, hasil siasatan di kawasan pondok terbabit, pihaknya menemui 160 paket plastik berisi dadah jenis heroin yang dibungkus dalam paket plastik lutsinar saiz kecil di bawah pelepah kelapa sawit.

"Kami percaya mereka mendapatkan bekalan dari sindiket luar dan menggunakan pondok itu sebagai port membungkus dadah sebelum diedarkan kepada penagih  sekitar kawasan Jasin.

“Sejak tiga minggu lalu, polis bahagian narkotik melakukan intipan sebelum melakukan serbuan di ladang kelapa sawit dekat Kampung Bukit Katong Rim,” katanya ketika sidang media di IPD Jasin, semalam.

Muhd Nur Hishamuddin berkata, ketiga-tiga suspek yang merupakan orang tempatan turut mempunyai rekod lampau berkaitan kes jenayah termasuk jenayah curi kereta.

“Malah ujian saringan awal air kencing mendapati mereka juga positif dadah jenis syabu dan heroin.

"Ketiga-tiga suspek ditahan reman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut,” katanya.

Katanya, kes diklasifikasikan di bawah Sek 39B ADB 1952 kerana mengedar dadah dan membawa kepada hukum gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan.