Search This Blog

Thursday, April 11, 2013

Polis temui semula kereta mewah hadiah utama ABP



KUALA LUMPUR 10 April - Sebuah kereta mewah Nissan Fairlady yang merupakan hadiah utama untuk Anugerah Bintang Popular (ABP) 2013 yang dicuri di pusat servis dan pameran kenderaan tersebut di Segambut di sini dua hari sebelum majlis itu berlangsung pada Ahad lalu, ditemukan semula di Skudai, Johor, awal pagi ini.
Kereta bernilai RM400,000 itu ditemukan dalam keadaan baik bersama kuncinya di sebuah lokasi pukul 1 pagi ini.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh berkata, dalam kejadian pada pukul 10.25 malam, kereta tersebut yang menunggu untuk diservis telah dilarikan seorang suspek yang menyamar sebagai pelanggan.
"Ketika dilarikan suspek, kunci kenderaan itu ditinggalkan di dalam kereta tersebut.
"Polis percaya kereta itu yang belum didaftarkan dan menggunakan nombor plat palsu, telah dijual kepada orang tengah dengan harga RM30,000.
"Kereta itu kemudian dijual kepada seorang pembeli di Johor," katanya selepas menghadiri mesyuarat bulanan di Hotel Majestic, Jalan Hishamudin di sini hari ini.
Difahamkan, kes berkenaan dilaporkan di Balai Polis Segambut pada hari kejadian.
Mohmad seterusnya berkata, berdasarkan modus operandi digunakan, polis percaya suspek merupakan individu sama yang melarikan kereta mewah Porsche Panamera di Bukit Bintang dan Audi di Jalan Chan Sow Lin, masing-masing pada Oktober dan Disember lalu.
"Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di dalam premis itu juga berjaya merakam imej suspek. Oleh itu, polis kini menjejaki Mohd. Azri Mohd. Kassim, 32, bagi membantu siasatan kes berkenaan," katanya.
Menurut Mohmad, Mohd. Azri pernah ditahan dan didakwa di mahkamah atas kesalahan melarikan dua kereta mewah itu tetapi dibebaskan dengan ikat jamin polis sebanyak RM15,000 pada Februari lalu.
Beliau berkata, suspek bagaimanapun tidak hadir di mahkamah sebanyak tiga kali.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130411/je_07/Polis-temui-semula-kereta-mewah-hadiah-utama-ABP#ixzz2Q9Sa9pv7
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment