Sharifuddin Ab Ghani
Sharifuddin Ab Ghani (tengah) beramah mesra dengan salah seorang pesakit, Khairuddin Awang, 55, semasa melawat HTAA sempena Hari Polis Ke-206 di Kuantan hari ini.
KUANTAN - Polis Pahang menubuhkan pasukan khas mencegah 'gangsterism' yang akan memantau kegiatan jenayah berunsur gengster sepanjang tempoh Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU 13)
Ketua Polis Pahang Datuk Sharifuddin Ab Ghani berkata pasukan itu ditempatkan di setiap daerah.
"Selain itu pasukan ini juga akan menjalankan risikan khas mengawal kegiatan ‘bookie’ pada pilihan raya umum itu nanti," katanya kepada pemberita selepas melawat Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) sempena Peringatan Hari Polis ke-206, di sini, hari ini.
Beliau juga mengingatkan semua pihak terutamanya parti politik dan penyokong mereka agar mematuhi peraturan dan undang-undang sepanjang tempoh berkempen pada pilihan raya itu nanti.
Turut hadir Pengarah Hospital HTAA Datuk Dr Marlia Mohammed Salleh, Timbalan Ketua Polis Datuk Jamaluddin Abd Majid dan Pemangku Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (Perkep) Kontijen Pahang, Datin Alina Abdullah.
Pada majlis itu juga Polis Pahang menyampaikan sumbangan wang tunai kepada 44 pesakit dari wad kanak-kanak HTAA. - Bernama