Search This Blog

Thursday, April 11, 2013

Polis buru enam saki baki kumpulan Morning Glory



Kuala Lumpur: Polis memburu enam saki baki kumpulan samun bersenjata ‘Morning Glory’ bagi membantu siasatan berhubung beberapa kes samun dan tembak mati seorang lelaki pada 21 Mac lalu.

Sebelas anggota lain kumpulan itu termasuk seorang wanita berusia di antara 30 dan 40 tahun sudah ditahan reman selama 14 hari bermula 28 Mac lalu hingga kelmarin, bagi membantu siasatan bagi 18 kes samun di sekitar ibu negara.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh, berkata tiga daripada 11 suspek itu sudah dibebaskan dengan jaminan polis selepas soal siasat, manakala selebihnya masih ditahan reman bagi membantu siasatan kes jenayah lain di Selangor.

Katanya, kebanyakan suspek menyerah diri kepada polis selepas gambar mereka disiarkan media tempatan.

Rampas kereta curi

“Tangkapan terbaru seorang suspek dilakukan di Kedah, pada jam 4.30 petang Isnin lalu dan polis merampas tiga kereta curi disyaki dalam perjalanan ke negara jiran.

“Tangkapan terbabit berjaya menyelesaikan 12 kes samun di sekitar Lembah Klang, lima kes di Selangor dan dua di Melaka,” katanya selepas menghadiri mesyuarat bulanan Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini, semalam.
Polis semalam turut mengedarkan enam gambar saki baki kumpulan itu iaitu Yong Kok Wai @ Ah Wai, 41; Sin Wei Kit, 26; Liew Wan Keng, 41; Foo Kim Lai, 36; Yang Kim Fook, 37 dan Leong Beng Hoe, 35.

Buru suspek kes tembak mati

Pada 27 Mac lalu, polis memburu 17 suspek yang dipercayai terbabit dalam kes tembak mati seorang lelaki yang dipercayai menganggotai kumpulan ‘Morning Glory’ di Jalan Ampang.

Sementara itu, dalam kes berlainan, polis menahan tiga lelaki berusia lingkungan 30-an dalam satu serbuan di sebuah gudang di Kundang, Rawang serta merampas enam kereta curi yang dimuatkan dalam sebuah kontena, Isnin lalu.

“Enam kenderaan itu ialah empat Toyota Hilux serta masing-masing sebuah Toyota Harrier dan Honda CRV.

“Semua kereta itu diletakkan di dalam kontena dipercayai untuk eksport ke negara luar.

“Polis masih menjalankan siasatan terhadap suspek, sejauh mana pembabitan mereka termasuk tempoh kegiatan dan pasaran kereta curi itu,” katanya.

No comments:

Post a Comment