Search This Blog

Sunday, April 14, 2013

Penjaga pusat siber maut dibelasah, ditikam



Serdang: Seorang lelaki berusia 34 tahun yang juga penjaga pusat siber maut dibelasah sekumpulan lima lelaki bersenjatakan besi dan pisau dalam kejadian samun di Bandar Kinrara, Puchong, awal pagi semalam.

Difahamkan, kumpulan lima lelaki terbabit berang selepas mangsa dan dua rakannya tidak membenarkan mereka masuk ke premis itu sebelum memecahkan pintu dan menyerang mangsa.


Dalam kejadian jam 3.15 pagi, mangsa yang cedera di kepala dan badan dibawa ke hospital swasta berhampiran namun disahkan meninggal dunia ketika menjalani rawatan.

Sumber polis berkata, ketika kejadian, mangsa dan dua lagi rakannya bekerja di premis berkenaan.


“Mereka kemudian didatangi sekumpulan lima lelaki, namun dimaklumkan premis itu ditutup.


“Tidak berpuas hati, kumpulan terbabit memecahkan pintu premis itu menggunakan besi sebelum masuk dan berlaku pergelutan antara mereka,” katanya.

Sumber itu berkata, dalam pergelutan itu pihaknya percaya seorang suspek menggunakan senjata tajam dipercayai pisau yang menyebabkan mangsa cedera parah.


“Mangsa yang cedera di kepala dan badan kemudian dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan, namun disahkan mati tidak lama kemudian,” katanya.

Menurutnya, kumpulan penjenayah itu dipercayai melarikan diri menggunakan kereta Toyota Vios selepas berjaya melarikan sejumlah wang.


Katanya, pemeriksaan dilakukan pihak berkuasa di lokasi kejadian mendapati premis itu mempunyai kamera litar tertutup (CCTV) namun tidak berfungsi.


“Siasatan lanjut mendapati premis yang baru beroperasi sejak seminggu lalu itu tidak mempunyai lesen sah,” katanya.


Difahamkan, sehingga kini belum ada tangkapan dilakukan, namun usaha memburu kumpulan penjenayah itu giat dijalankan.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner Abdul Razak Elias ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dan siasatan lanjut dilakukan.

No comments:

Post a Comment