Penganggur dituduh rogol anak tiri berusia 13 tahun
Tertuduh (tengah) dikawal ketat anggota polis keluar dari mahkamah selepas tuduhan dibuat, semalam.

KOTA BHARU – Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas tuduhan merogol anak tirinya yang berusia 13 tahun, sejak setahun lalu.
 
Tuduhan terhadap lelaki berusia 29 tahun itu dibuat mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan di hadapan Hakim Yusoff Yunus.
 
Mohd Faizal Mohd Shaupi dari Dabong didakwa melakukan perbuatan itu antara tahun 2012 dan 10 Mac 2013 di alamat Taman Sentosa, Ladang Kuala Gris, Bukit Abu.
 
Akibat tuduhan itu, Mohd Faizal berdepan penjara tidak kurang lapan dan tidak lebih 30 tahun dan boleh juga dikenakan sebatan jika sabit kesalahan merogol kanak-kanak yang perhubungannya tidak dibenarkan undang-undang atau hukum agama atau adat atau kebiasaan untuk berkahwin dengannya.
 
Bagaimanapun, pada prosiding semalam, tertuduh mengaku tidak bersalah. Susulan itu, Timbalan Pendakwa Raya negeri, Intan Nur Hilwani Mat Rifin memohon tarikh bagi menyelesaikan pengurusan kes dan menunggu laporan perubatan mangsa.
 
Sementara itu, beliau tidak menawarkan jaminan ke atas tertuduh. Kes bersambung 20 Mei depan.