Pencuri lembu kantoi
Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria
KAMPUNG RAJA - Seorang warga emas akhirnya masuk perangkap apabila berjaya ditangkap pemilik lembu yang mahu dicurinya, di Kampung Gong Bayor, di sini.

Lelaki berusia 57 tahun itu ditangkap pemilik lembu di dalam semak, jam 8 malam kelmarin ketika dia datang untuk mengambil lembu yang ditambat di situ setelah dicurinya pagi hari sama.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria berkata, pada 9 pagi hari sama pemilik lembu tersebut mendapati lembu yang ditambat kira-kira 500 meter dari rumahnya telah hilang.

Menurut beliau, dia mencari lembunya dan menemui haiwan tersebut ditambat pada anak kayu di dalam semak beberapa ratus meter dari tempat ia didapati hilang.

“Menyedari lembu tersebut dicuri, pemiliknya mengambil keputusan menunggu di dalam semak berhampiran untuk memberkas suspek yang dipercayai akan datang mengambil lembu tersebut,” katanya.

Menurutnya, pemilik itu berjaya menangkap suspek jam 8 malam yang datang seorang diri ke kawasan tersebut.