Search This Blog

Tuesday, April 23, 2013

Pemuda tetak ibu saudara didakwa amal ilmu hitam



SYDNEY - Seorang pemuda di Papua New Guinea menetak ibu saudaranya sehingga mati dengan sebilah kapak kerana mendakwa wanita itu mengamalkan ilmu hitam, menurut satu laporan semalam.
Pemuda tersebut, Saku Uki Aiya dijatuhi hukuman penjara selama 30 tahun selepas didapati bersalah melakukan jenayah kejam itu.
Hakim Mekeo Gauli menyatakan perbuatan Aiya, 21, tidak masuk akal dan tidak bertamadun selepas perbicaraan selama dua hari di mahkamah tinggi wilayah Enga, utara Papua New Guinea.
Mahkamah diberitahu, Aiya bersama dua rakan yang lain telah pergi ke rumah mangsa pada 2010 seterusnya mengelar leher dan menetak kepala wanita itu menggunakan kapak dengan alasan mangsa menyihir abangnya sehingga mati.
Akhbar tempatan melaporkan seorang anggota polis, Sarjan Simon Mek sebagai berkata, pembunuhan tersebut merupakan kes pertama melibatkan ilmu hitam yang dibicarakan di mahkamah negara itu.
"Terlalu banyak kes seperti ini dilaporkan. Tetapi ia jarang dibawa ke mahkamah kerana saudara mangsa lebih cenderung untuk menyelesaikannya melalui majlis timbang tara di kampung masing-masing," kata Mek.
Dalam pada itu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melahirkan kebimbangan berhubung peningkatan kes jenayah yang melibatkan ilmu sihir di Papua New Guinea.
"PBB bimbang tentang peningkatan kes keganasan, penyeksaan malah, pembunuhan terhadap individu yang dituduh mengamalkan ilmu hitam di negara lautan Pasifik ini," kata badan dunia tersebut dalam satu kenyataan. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0423&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_06.htm#ixzz2REkRKdE0 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment