Search This Blog

Tuesday, April 16, 2013

Pemilik gerai sabit kesalahan miliki 22.5 kilogram ganja dihukum penjara 16 tahun, 14 sebatan



SHAH ALAM 15 April - Seorang pemilik gerai terselamat daripada hukuman di tali gantung selepas Mahkamah Tinggi di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara 16 tahun dan sebatan 14 kali terhadapnya atas kesalahan memiliki ganja seberat lebih 22.5 kilogram, tiga tahun lalu.
Hakim Datuk Ahmadi Asnawi memutuskan demikian terhadap Mustafa Tambun, 47, selepas beliau meminda pertuduhan mengedar dadah yang dihadapi oleh lelaki itu kepada memiliki dadah tersebut yang disembunyikan di dalam sebuah kereta Audi.
Pindaan berkenaan dibuat setelah mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan tertuduh melakukan pengedaran dadah namun berjaya membuktikan tertuduh memiliki dadah itu.
Menurut hakim tersebut, pendakwaan gagal membuktikan kewujudan individu bernama Azman Hassan yang dikatakan menyuruh tertuduh membawa kereta mewah itu untuk dibaiki.
Pindaan dibuat daripada Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1957 yang memperuntukan hukuman gantung mandatori kepada Seksyen 6 akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan minimum 10 kali.
Lelaki itu disabitkan atas tuduhan memiliki ganja seberat 22,503 gram di hadapan Bangunan Tower C, Mentari Court Sungai Way, Petaling Jaya dekat sini pada pukul 5 petang, 27 Oktober 2010.
Sepanjang kes dibicarakan, sebanyak tujuh saksi pendakwaan dan dua saksi pembelaan dipanggil memberi keterangan.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20130416/ma_04/Pemilik-gerai-sabit-kesalahan-miliki-225-kilogram-ganja-dihukum-penjara-16-tahun-14-sebatan#ixzz2Qa4nQhcw
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment