KUALA LUMPUR - Seorang pembantu perubatan sebuah hospital dijatuhi hukuman penjara dua tahun dan denda RM1,000 oleh Mahkamah Trafik di sini selepas mengaku bersalah membawa kenderaan secara melulu dan menyebabkan kematian seorang anggota tentera, tahun lalu.

Majistret Noorasyikin Sahat turut mengarahkan N Gopal, 28, dipenjara sebulan sekiranya gagal membayar denda dan lesen memandunya digantung tiga tahun berkuat kuasa semalam.  

Gopal didakwa memandu dengan cara melulu dan membahayakan pengguna jalan raya sehingga menyebabkan kematian Ahmad Johan Ahmad Tarmizi, 25, di Jalan Genting Kelang, di sini, pada 1.30 pagi, 26 Mac 2012.

Dia didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan 1999) yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda maksimum RM20,000 serta lesen memandu  boleh digantung, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, kejadian berlaku ketika kereta jenis Perodua Kenari yang dipandu tertuduh keluar simpang dari Hospital Colombia terus ke tengah jalan untuk membuat pusingan U pada laluan salah dan tiba-tiba telah dilanggar oleh motosikal yang ditunggang mangsa pada sebelah kanan sehingga menyebabkannya tercampak.      
Mangsa yang mengalami kecederaan parah meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Insp Abdullah Said manakala Gopal tidak diwakili peguam. - Bernama