Search This Blog

Thursday, April 11, 2013

Pekerja kilang maut dirempuh kereta



MELAKA 10 April - Seorang pekerja kilang bukan sahaja bernasib malang apabila tertinggal bas ke tempat kerja tetapi dia turut menemui ajal setelah dirempuh sebuah kereta yang terbabas semasa menunggu rakannya di Jalan Duyong, Bukit Katil di sini pagi ini.

Dalam kejadian pukul 6.30 pagi itu, mangsa, Zainah Adam, 53, sedang menunggu untuk diambil seorang rakannya ke tempat kerja setelah tertinggal bas sebelum itu.

Jurucakap polis berkata, mangsa yang bekerja di Kilang Infineon Batu Berendam di sini, sedang berdiri di tepi jalan menunggu rakannya apabila berlaku kemalangan membabitkan sebuah kereta dan van berhampiran dengannya.

"Sebuah kereta dipandu seorang lelaki berusia 30 tahun telah berlanggar dengan sebuah van sebelum hilang kawalan dan terbabas merempuh mangsa.

"Rempuhan kuat itu menyebabkan mangsa maut di tempat kejadian akibat cedera parah di bahagian kepala dan badan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Katanya, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Melaka untuk dibedah siasat.

Sementara itu, rakan mangsa, Norhafiza Omar, 27, berkata, dia tidak menyangka tragedi malang menimpa sahabatnya itu.

Norhafiza mendakwa, sebelum kejadian, dia ada melihat sebuah kereta dipandu secara merbahaya memintasnya di Jalan Perigi Hang Tuah di sini.

"Tiba di tempat kejadian, saya melihat berlaku kemalangan tetapi langsung tidak menyangka yang menjadi mangsa ialah Zainah dan saya cuba menghubungi telefon bimbitnya namun tidak dijawab.

"Saya kemudian keluar dari kereta untuk melihat kemalangan itu dan terkejut apabila seorang individu yang berada di tempat kejadian menunjukkan kad kerja milik Zainah," katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Bukit Piatu di sini hari ini.

Menurut Norhafiza, Zainah yang mempunyai tiga anak dan telah bekerja di kilang tersebut sejak 35 tahun lalu.

Sementara itu, suami kepada Zainah, Saidin Sidek, 59, memberitahu, dia menerima semua apa yang berlaku dengan reda dan menganggap pemergiannya sebagai takdir Allah.



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130411/dn_15/Pekerja-kilang-maut-dirempuh-kereta#ixzz2Q9OfQEOn
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment