KAMPUNG RAJA - Seorang pegawai kanan lelaki berusia 51 tahun dan pasangannya, kakitangan sokongan, 41, yang bertugas di dua jabatan kerajaan berasingan mengaku bersalah di Mahkamah Rendah Syariah di sini, atas pertuduhan berkhalwat di kawasan semak Bukit Keluang  pada 5 Mac lalu.

Hakim Syarie, Mohd Nazri Yusof berpuas hati pengakuan tertuduh dan menjatuhkan hukuman denda RM2,300 setiap seorang atau sebulan penjara jika gagal membayar denda.

Mereka ditahan ketika berdua-duaan dalam kereta jenis Proton Inspira di kawasan semak tangki air Bukit Keluang dekat sebuah pusat pendidikan di situ pada jam 1 petang, sedangkan mereka tidak mempunyai ikatan sah yang boleh menimbulkan syak melakukan perbuatan tidak bermoral iaitu berkhalwat.

Pasangan itu dituduh di bawah Seksyen 31(a) dan (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (takzir) Negeri Terengganu 2001 dan jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM3,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-dua sekali.

Pendakwaan dijalankan pendakwa syarie, Norzilawati Said manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam, Zukri Jusoh.

Norzilawati ketika membacakan fakta kes memberitahu, pengadu (penguat kuasa) yang melakukan rondaan di kawasan semak tangki air Bukit Keluang terserempak dengan sebuah kereta yang berada di sebuah simpang sunyi dan semak.

Rayuan kedua-dua tertuduh dibacakan Zukri yang menyebut pasangan itu mempunyai hubungan persaudaraan dan tujuh tahun mengenali, selain mempunyai perniagaan sambilan bersama.

Kedua-dua mereka yang mempunyai isteri dan suami turut merayu meringankan hukuman.

Tertuduh lelaki yang beralamat di Gong Nering, Jertih mempunyai empat anak manakala pasangan beralamat di Kampung Pinang, di sini mempunyai lima anak.

Kedua mereka membayar denda yang dikenakan dan dibebaskan.