Search This Blog

Thursday, April 11, 2013

Nelayan 13 anak dipenjara 18 tahun rogol anak tiri

PUTRAJAYA 8 April - Seorang bapa kepada 13 orang anak kekal menjalani hukuman penjara 18 tahun atas sabitan melakukan sumbang mahram terhadap anak tirinya yang berusia tujuh tahun di sebuah rumah di Kelantan pada 2007.
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai oleh Datuk Seri Mohamed Apandi Ali bagaimanapun membenarkan sebahagian rayuan lelaki itu agar hukuman penjara berkuat kuasa mulai tarikh tangkapan pada 21 Januari 2007.
Beliau yang bersidang bersama Datuk Linton Albert dan Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin meminda hukuman agar bermula dari tarikh tangkapan, bukannya dari tarikh keputusan diumumkan iaitu pada 17 Disember 2009.
Nelayan berusia 75 tahun itu disabitkan melakukan sumbang mahram terhadap mangsa di sebuah rumah di Daerah Tumpat, Kelantan di antara pukul 4 petang dan 7 malam, 19 Januari 2007.
Keterangan kes menyatakan, mangsa mengadu kepada neneknya bahawa kemaluannya sakit dan berdarah ketika membuang air kecil sebelum memberitahu dia dirogol bapa tiri.
Penghujahan bertulis pihak pendakwaan turut menyatakan, ibu mangsa telah dijatuhi hukuman penjara 18 tahun oleh Mahkamah Sesyen atas dua tuduhan bersubahat membantu suaminya merogol mangsa.
Fakta dalam kes itu menyatakan, ibu mangsa memegang kedua-dua tangan anak perempuannya dan menutup mulut kanak-kanak tersebut ketika dirogol perayu.
Sebelum itu, peguam Ahmad Nizam Mohamed yang mewakili perayu berhujah, wujud percanggahan material pada keterangan mangsa berhubung kekerapan kejadian rogol seperti yang dimaklumkan kepada neneknya.
Peguam bela menghujahkan, mangsa memberitahu neneknya kejadian hanya berlaku sekali sedangkan wanita itu dalam keterangannya kepada mahkamah memaklumkan, kejadian berlaku lebih 10 kali di tempat-tempat berasingan termasuk di tepi sungai.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Bache menghujahkan, mahkamah perlu mengambil kira faktor umur kedua-duanya iaitu seorang kanak-kanak yang ketika kejadian berumur tujuh tahun manakala seorang lagi merupakan wanita tua.
Menurut pendakwa raya, perbezaan keterangan itu bukan satu percanggahan kerana perkara itu tidak memberi kesan kepada asas pertuduhan iaitu perayu memang berada di tempat kejadian.
Ahmad Nizam kemudian memohon agar hukuman bermula dari tarikh tangkapan iaitu pada 21 Januari 2007, bukannya pada tarikh Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman iaitu pada 17 Disember 2009.
Pendakwa raya pula menyerahkan perkara itu kepada mahkamah. Beliau bagaimanapun, memohon agar hukuman penjara 18 tahun itu dikekalkan atas keseriusan kes kerana perayu sepatutnya menjadi penjaga kepada mangsa selepas mengahwini ibu kanak-kanak itu.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20130409/ma_03/Nelayan-13-anak-dipenjara-18-tahun-rogol-anak-tiri#ixzz2Q9Th45df
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment