Mayat lelaki ditemui terapung
Anggota polis memeriksa mayat mangsa selepas ditemui terapung di tepi Sungai Kuantan, pagi semalam.
KUANTAN - Mayat seorang lelaki ditemui terapung di tepi Sungai Kuantan berhampiran Medan Feri dekat Tanah Putih, di sini, semalam.

Mayat mangsa berasal dari Kampung Tanah Putih, Pekan, itu ditemui seorang pekerja pembersihan yang kebetulan sedang mengutip sampah menggunakan sebuah bot di kawasan berkenaan kira-kira jam 11 pagi.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusoff berkata, penemuan mayat mangsa yang hanya memakai seluar jeans hitam tidak berbaju dimaklumkan kepada sekumpulan lelaki termasuk ahli keluarga mangsa yang berada di kawasan tersebut.

Menurutnya, berdasarkan pengecaman salah seorang ahli keluarganya,  mangsa disahkan sebagai lelaki yang dilaporkan hilang selepas terjun ke dalam sungai itu bersama seorang rakan petang 2 April lalu.

“Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk bedah siasat,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Mohd Jasmani berkata, mangsa bersama rakannya dipercayai terjun ke dalam sungai itu kira-kira jam 2 petang, 2 April lalu kerana terkejut selepas menyedari sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan menyerbu ‘port’ penagih di kawasan Lorong Lengkok Kanan.

“Mangsa bersama rakannya yang  berada di kawasan tidak jauh dari lokasi serbuan dipercayai bertindak terjun ke dalam sungai sebelum tenggelam.

“Rakannya terselamat dan memaklumkan kejadian menimpa mangsa kepada ahli keluarga sebelum laporan polis dibuat berhubung kehilangan lelaki itu,” katanya.

Menurutnya, susulan laporan yang dibuat, usaha mencari digerakkan dengan bantuan Pasukan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kuantan, petang kelmarin.

“Operasi dihentikan kira-kira jam 8.30 malam kelmarin dan diteruskan pagi semalam sebelum ditamatkan berikutan penemuan mayat mangsa,” katanya.

Beliau berkata, hasil operasi di kawasan berkenaan, polis berjaya menahan beberapa penagih, bagaimanapun kejadian yang menimpa mangsa tidak disedari anggota terlibat kerana berlaku bukan di kawasan serbuan.

“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan tidak melibatkan sebarang unsur jenayah,” katanya.