Mangsa letupan stesen LRT fail saman
Muhammad Sakereen (tengah) mendengar penjelasan kesnya oleh Noraisyah (kiri).
KUALA LUMPUR - Mangsa yang mengalami kecederaan akibat letupan dalam tandas di Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Sri Rampai pada 28 Mac tahun lalu memfailkan saman terhadap Syarikat Prasarana Negara Berhad (Prasarana), semalam.

Tuntutan saman tersebut dibuat melalui peguam iaitu Tetuan Noraisyah & Co bagi tuntutan ganti rugi am, ganti rugi teladan dan maruah diri.

Peguam, Noraisyah Abu Bakar berkata, anak guamnya Muhammad Sakereen Basri, 22, mengalami kecederaan semasa menggunakan tandas awam di dalam premis LRT Sri Rampai sekitar jam 1 tengah hari.

Menurutnya, semasa anak guamnya menggunakan tandas tersebut, berlaku satu letupan sehingga mengakibatkan kecederaan pada anggota badan.

“Muhammad Sakereen memfailkan saman kerana pihak Prasarana dilihat seolah-olah lepas tangan terhadap keadaan mangsa yang terpaksa menanggung kerugian dan tohmahan orang ramai.

“Kejadian tersebut mendapat liputan media malah anak guam malu setelah penyebaran gambar rakaman litar tertutup (CCTV) dalam keadaan separuh bogel pada kejadian berkenaan,” katanya kepada Sinar Harian bersama anak guamnya di AU3 Taman Sepakat.

Hadir sama, bapa saudara Muhammad Sakereen, Azmim Ibrahim.

Noraisyah berkata, pada September 2012, pihaknya menghantar Notis Tuntutan kepada pihak Rangkaian Pengangkutan Integrasi Deras Sdn Bhd (RapidKL) dan Prasarana.

Namun katanya, maklum balas yang diberikan mengatakan bahawa tuntutan anak guamnya tiada bukti untuk membuat tuntutan di bawah polisi ‘Public Liability’ mereka.

“Alasan tersebut tidak munasabah kerana Prasarana mempunyai tanggungan keselamatan bagi setiap pelanggan yang berada di dalam kawasannya kerana mangsa membuat bayaran apabila menggunakan perkhidmatan.

“Kes yang dialami oleh Muhammad Sakereen juga menyebabkan dia turut terpaksa menanggung kerugian dan hutang kepada pelanggannya kerana ada tugas yang tidak dapat disempurnakan di mana dia bekerja secara ‘freelance’ sebagai penggubah bunga hantaran,” katanya.

Dalam kejadian itu, Sakereen yang tinggal di Seksyen 1, Wangsa Maju mengalami kecederaan di bahagian rusuk kiri, pinggang, punggung, paha sebelah kiri dan kelangkang apabila mangkuk tandas meletup.

Sementara itu Azmim berkata, anak saudaranya masih mengalami trauma sejak kejadian itu dan turut dijadikan bahan jenaka oleh orang ramai.

“Sebelum ini, pernah ada perbincangan antara Muhammad Sakereen dengan pihak Prasarana berhubung keadaannya tetapi senyap sehingga hari ini,” katanya.