Search This Blog

Tuesday, April 16, 2013

Makmal proses dadah dibongkar



HULU LANGAT 15 April - Polis membongkar sebuah makmal mini memproses dadah yang beroperasi di dalam perkampungan Orang Asli ekoran tertangkapnya tiga suspek warga tempatan dalam serbuan di Kampung Orang Asli Kacau, Ulu Semenyih dekat sini kelmarin.
Dalam serbuan di rumah yang dibina secara haram pukul 4 petang itu, polis turut merampas lebih dua kilogram dadah jenis heroin bernilai RM300,000 di dalam dan luar premis tersebut selain peralatan untuk memproses dadah seperti pengisar, besen dan penapis.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab. Rashid Ab. Wahab berkata, ketika serbuan, ketiga-tiga suspek termasuk seorang wanita berusia 18 hingga 31 tahun itu sedang leka menyusun peralatan untuk memulakan operasi.
Beliau berkata, siasatan mendapati seorang daripada suspek mempunyai tiga rekod jenayah lampau berkaitan dua kes dadah serta curi dan kesemua mereka kini direman selama enam hari untuk membantu siasatan.
"Mereka menjalankan kegiatan tersebut di perkampungan Orang Asli bagi mengelak dikesan pihak polis. Sindiket memproses dadah itu dipercayai baru beroperasi memandangkan kebanyakan peralatan yang digunakan masih kelihatan baharu," katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.
Ab. Rashid seterusnya mengucapkan terima kasih kepada orang ramai yang menyalurkan maklumat sehingga terbongkarnya makmal dadah itu dan tertangkapnya suspek.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130416/je_08/Makmal-proses-dadah-dibongkar#ixzz2Qa6bYNYs
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment