KUALA LUMPUR - Seorang lelaki warga Pakistan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap pertuduhan memiliki wang palsu, bulan lepas.

Nasir Mahmood Jan Muhammad, 42, didakwa memiliki 3,100 keping wang kertas palsu Rupees India 1,000 dan 180 keping wang  kertas palsu Rupees India 500 untuk digunakan sebagai tulen di sebuah hotel di Jalan Pahang di sini pada 3.15 petang 14 Mac lepas.

Dia yang tidak mempunyai pekerjaan tetap itu didakwa mengikut Seksyen 489c Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman  penjara 10 tahun, jika sabit kesalahan.

Hakim Che Mohamad Zulkifly Jusoh tidak membenarkan tertuduh diikat jamin kerana tertuduh adalah warga asing dan menetapkan 3  Mei untuk sebutan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Haderiah Siri. - Bernama