Search This Blog

Tuesday, April 16, 2013

Lelaki bongkar jenayah sendiri


Kuala Lumpur: Tindakan seorang bapa tiri membuat laporan polis atas kehilangan anak perempuannya berusia 11 tahun memakan diri apabila penemuan semula kanak-kanak itu membongkar rahsia dia sebenarnya dirogol lelaki terbabit.

Difahamkan, lelaki durjana itu mengambil kesempatan melakukan perbuatan keji itu ketika isterinya tiada di rumah mereka di sebuah flat di Jalan Raja Laut, di sini.


Berikutan rakaman keterangan terhadap kanak-kanak terbabit, polis yang menjalankan siasatan menahan bapa tirinya itu beberapa jam kemudian selepas rakaman keterangan itu selesai, awal pagi kelmarin.

Sumber mendedahkan, pada mulanya lelaki berusia 41 tahun itu membuat laporan kehilangan anaknya itu kira-kira jam 10 malam, Jumaat lalu, selepas kanak-kanak terbabit tidak pulang ke rumah.


“Kononnya bimbang keselamatan anak tirinya itu, lelaki terbabit ke Balai Polis Chow Kit membuat laporan dan meminta bantuan polis membawa anaknya pulang selepas dipercayai lari dan tinggal di rumah seorang rakannya di Chow Kit.


“Sepasukan polis bersama lelaki terbabit kemudian ke rumah berkenaan untuk mencari anak tirinya itu. Sebaik tiba di rumah itu, seorang wanita membuka pintu dan mengesahkan kanak-kanak terbabit berada, di situ,” katanya.

Menurutnya, kanak-kanak berkenaan kemudian dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut, namun hasil siasatan kanak-kanak itu mendedahkan dia melarikan diri kerana diperkosa bapa tirinya itu.


“Berikutan pengakuan mangsa, dia dihantar ke hospital untuk pemeriksaan kesihatan. Polis kemudian mengambil tindakan dengan menahan lelaki terbabit untuk siasatan,” katanya.

Sumber berkata, kanak-kanak itu mendakwa sering dirogol bapa tirinya itu di rumah mereka ketika ketiadaan ibu dan bimbang diperlakukan sedemikian lagi menyebabkan dia bertindak nekad melarikan diri.

No comments:

Post a Comment