Ribut
Mangsa, Abu Bakar Musa (kanan), 45, dan adiknya Ismail, 42, membersihkan bumbung rumah bapa mereka Musa Bakar yang rosak selepas diterbangkan ribut.
ALOR SETAR - Sekurang-kurangnya 80 rumah di Kuala Kedah dekat sini, rosak teruk terutama pada bahagian bumbung susulan kejadian ribut, petang semalam.

Dalam kejadian jam 5 petang, yang membabitkan kawasan berhampiran laut itu, banyak bumbung rumah diterbangkan angin kuat beserta hujan lebat.

Penyelaras Parlimen Kuala Kedah, Syed Zainuzman Syed Yahaya berkata, kawasan paling teruk terjejas ialah di Pengkalan Kundor kerana membabitkan rumah kampung.

“MKN (Majlis Keselamatan Negara) akan datang hari ini (semalam) untuk membuat penilaian.

“Ketika ini kami masih tak dapat jumlah sebenar tetapi, berdasarkan lawatan saya ke kawasan terbabit setakat ini dah lebih 80 rumah terjejas,” katanya kepada media di Taman Sayang, dekat sini, semalam.

Sementara itu, Naib Ketua Umno Kuala Kedah, Datuk Abdul Muthalib Harun berkata, pihaknya akan memberi bantuan segera, terutama di Taman Sayang yang melibatkan lima rumah dan sebuah surau.

“Saya nasihatkan semua mangsa supaya membuat laporan polis supaya anggaran kerugian dapat dibuat segera,” katanya. - Bernama