Search This Blog

Thursday, April 11, 2013

Korban virus H7N9 di China meningkat 9 orang



SHANGHAI 10 April - Jumlah korban akibat virus maut H7N9 di China kini meningkat kepada sembilan orang, lapor media tempatan, semalam.
Agensi berita Xinhua melaporkan, mangsa terbaharu virus tersebut berasal dari wilayah Anhui.
Xinhua yang memetik data yang diperoleh daripada Suruhanjaya Kesihatan dan Perancangan Keluarga Kebangsaan melaporkan, virus berbahaya yang mula dikesan pada manusia pada bulan lalu itu kini, menjangkiti 28 orang yang kebanyakannya di timur China.
Kes itu antaranya melibatkan empat individu dengan dua daripada mereka di Shanghai dan dua lagi di wilayah Zhejiang. Seorang daripada mereka kini berada dalam keadaan kritikal.
Jurnal Keselamatan China, hari ini melaporkan, Pentadbiran Makanan dan Dadah China telah meluluskan vaksin H7N9 dan dijangka berada di pasaran pada pertengahan tahun ini.
Punca penularan virus berbahaya itu sehingga kini masih belum dikenal pasti, biarpun beberapa sampel yang diuji menunjukkan virus itu dikesan pada burung serta ternakan itik dan ayam yang dijual di pasar.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) semalam menjelaskan bahawa pihaknya sedang memantau dua orang daripada dua keluarga di negara ini yang mungkin dijangkiti virus itu, sekali gus boleh mengkaji sama ada virus itu boleh merebak menerusi manusia atau sebaliknya.
Bagaimanapun, tiada sebarang bukti kukuh menyatakan virus itu boleh disebarkan menerusi manusia sehingga mencetuskan wabak dan perkara itu disokong oleh pihak kesihatan China. - REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130411/lu_07/Korban-virus-H7N9-di-China-meningkat-9-orang#ixzz2Q9Fps6xW
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment