SHAH ALAM - Hasrat seorang kontraktor untuk membayar gaji pekerja tidak kesampaian apabila disamun dua lelaki bersenjatakan parang di Jalan Pinang C, Seksyen 18 di sini, kelmarin.

Kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, disaksikan wartawan Sinar Harian, Muhayudin Salleh, 27, yang sedang menunggu rakannya mengeluarkan wang di bank berhampiran.

Menurut Muhayudin, sebelum itu  dia melihat kereta  Proton Persona yang diletakkan bersebelahan dengan Nissan Navara, milik mangsa.

Muhayudin berkata, dia kemudiannya terlihat dua penjenayah bersenjatakan parang menghampiri mangsa.

“Saya nampak dua penjenayah merampas beg hitam milik mangsa. Penjenayah turut mengacukan parang pada mangsa.

“Selepas itu penjenayah terus melarikan diri bersama seorang lagi rakan mereka yang memandu Proton Pesona,” katanya, semalam.

Katanya, dia sempat mengambil nombor pendaftaran kereta berkenaan untuk membantu polis menjalankan siasatan.

“Ramai yang melihat kejadian itu tetapi kami tidak sempat untuk membantu kerana kejadian berlaku dengan pantas,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Zahedi Ayob ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam mengesahkan kejadian tersebut.

Beliau berkata, mangsa yang terkejut dengan tindakan penjenayah itu terus menyerahkan bagasi hitam berisi wang RM200,000.

“Penjenayah menaiki kenderaan bernombor BKJ 4932. Semakan melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mendapati ia milik seorang wanita yang pernah melaporkan cermin keretanya dipecahkan dan cukai jalan dicuri pada 1 Mac lalu,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan kejadian untuk siasatan.

Sehubungan itu, Zahedi meminta  orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian menghubungi balai polis berdekatan untuk membantu siasatan.