Kereta remuk, bas terbakar
Keadaan dua kenderaan selepas terlibat kemalangan di Jalan Kampung Gajah.
BUTTERWORTH - Seorang peniaga roti dan biskut yang memandu kenderaan untuk bertemu pelanggan yang menanti di premis perniagaannya maut apabila terlibat satu kemalangan di Kampung Gajah di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 5.40 pagi itu kereta Proton Wira yang dipandu Chew Tiew Poh, 27, merempuh sebuah bas menyebabkan peniaga yang masih bujang itu mengalami kecederaan parah di kepala dan beberapa bahagian badan sebelum meninggal dunia serta merta di tempat kejadian.

Rempuhan kuat di belakang bas itu bukan sahaja meremukkan bahagian hadapan kereta miliknya malah turut menyebabkan bas terbabit terbakar hingga menggemparkan terutamanya kepada pengguna jalan raya di kawasan berkenaan.

Jurucakap polis berkata, mangsa yang tinggal di flat Kampung Benggali, Bagan Ajam dikatakan memandu untuk segera sampai ke premis miliknya di Butterworth selepas terlewat untuk memulakan perniagaan.

“Bagaimanapun sebaik sampai di lokasi kejadian keretanya difahamkan hilang kawalan lalu merempuh sebuah bas yang baru sahaja keluar dari depoh berdekatan.

“Akibat rempuhan kuat itu bas berkenaan yang dalam perjalanan untuk ke Perhentian Bas Sementara di Jalan Pantai Bersih hangus terbakar, namun pemandunya sempat menyelamatkan diri dan tidak mengalami kecederaan,” katanya.

Menurutnya, mangsa kemudian dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk bedah siasat sebelum dituntut oleh keluarganya bagi urusan pengebumian.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Abdul Rahman Ibrahim yang dihubungi mengesahkan kejadian dan berkata kes disiasat dibawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.