Kenderaan pelanggan rentung
Kenderaan dan alat kelengkapan bengkel musnah sepenuhnya dalam kejadian kebakaran di Kampung Kempadang, petang kelmarin.
KUANTAN - “Baru dua minit saya tinggalkan bengkel untuk menguji kereta pelanggan, saya lihat asap hitam berkepul-kepul dari arah belakang bengkel lalu terus berpatah balik untuk melihat dari dekat," kata pemilik bengkel kereta yang musnah dalam kebakaran di Kampung Kempadang, petang kelmarin.

Mohd Arrifaei Muad, 33, berkata, semasa kejadian, ada dua pelanggan berada di bengkel berkenaan sementara menunggunya menguji kereta pelanggan yang baru siap dibaiki.

Menurutnya, kebakaran berlaku terlalu pantas dan dia hanya mampu menyelamatkan empat kereta pelanggan daripada rentung.

“Manakala yang lain habis terbakar termasuklah empat kereta, sebuah lori dan motosikal milik saya sendiri,” katanya.

Mohd Arrifaei berkata, selama tujuh tahun menjalankan perniagaan di situ, kejadian itu adalah kali pertama menimpanya.
Katanya, dianggarkan kerugian dialami sebanyak RM50,000 termasuk kereta yang terbakar.

Sementara itu, Penguasa Bomba Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang, Alimaddia Bukri berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 5.55 petang dan sampai ke lokasi 20 minit kemudian.

“Bomba mengambil masa sampai ke tempat kejadian kerana kesesakan lalu lintas berikutan waktu puncak orang ramai pulang bekerja.

“Setibanya di tempat kejadian, kami mendapati kebakaran sudah berada pada tahap 80 peratus. Dengan menggunakan kecekapan 19 anggota, kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 6.50 petang,” katanya.