Kedai runcit dipecah masuk
Melihat cermin tingkap ditanggalkan pencuri.
Kedai runcit dipecah masuk
Suria menyusun mi segeranya yang berkurangan setelah dikebas pencuri.
DALAM WANG - “Selain mi segera dan susu tin, bungkusan straw pun turut dikebas mereka,” kata seorang pemilik kedai runcit yang kecewa apabila premisnya dipecah masuk, semalam.

Suria Mad Zanu, 45, berkata, kejadian itu berlaku dua hari berturut-turut dipercayai dilakukan pada lewat malam selepas dia menutup kedai runcitnya itu.

Dia yang menetap di Kampung Dalam Wang berkata, walaupun hanya melibatkan kecurian kecil ia memberikan kesan kepada perniagaannya.

Menurutnya, kejadian itu bukan sahaja membimbangkan dirinya, malah peniaga lain yang berada di kawasan kampung tersebut.

“Bukan saya sahaja yang terlibat, tetapi beberapa peniaga lain turut berhadapan masalah yang sama. Ramai yang tidak membuat laporan polis kerana hanya melibatkan kecurian kecil.

“Namun begitu, perkara ini perlu didedahkan bagi memastikan pihak bertanggungjawab terutama peniaga sendiri supaya lebih berhati-hati,” katanya kepada Sinar Harian.

Suria berkata, mereka yang terlibat menceroboh masuk melalui cermin tingkap yang dipecah mereka.

“Walaupun ada banyak barangan makanan, mereka hanya mengambil dalam jumlah yang kecil. Seolah-olah hanya untuk makan malam mereka sahaja.

“Keesokannya, mereka ceroboh dan mencuri lagi,” katanya.

Ibu kepada enam orang anak ini tidak menafikan ramai yang terlibat dalam penagihan dadah di kawasan kampung itu.

“Justeru, memang tidak mustahil kejadian ini dilakukan oleh golongan itu.

"Walaupun polis pernah membuat tangkapan, mereka ini tidak insaf, malah masih melakukan gejala tidak bermoral itu.

“Tambahan pula, bungkusan straw pun turut dikebas mereka. Saya yakin, straw itu digunakan untuk perkara lain,” katanya.

Katanya, dia berharap, penduduk kampung lebih berhati-hati termasuk menambah baik sistem keselamatan gerai bagi mengelak kejadian sama berulang.