Search This Blog

Thursday, April 11, 2013

Kastam rampas dadah bernilai RM369,250 disorok dalam peralatan senaman

SEPANG 10 April - Sindiket dadah antarabangsa sentiasa ada taktik baharu untuk menyeludup masuk bahan terlarang itu ke negara ini agar tidak dikesan pihak berkuasa.
Namun, taktik licik tersebut tetap berjaya dihidu oleh pihak berkuasa yang cekap menjalankan tugas semasa pemeriksaan di pintu masuk negara termasuk di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini.
Terbaharu pada Khamis lalu, pegawai penguatkuasa Kastam berjaya menggagalkan cubaan seorang lelaki warga India menyeludup 10.55 kilogram (kg) dadah jenis ketamin bernilai RM369,250 yang menyorok bahan terlarang itu dalam peralatan senaman.
Ketua Pengarah Kastam KLIA, Datuk Chik Omar Chik Lim berkata, suspek berusia 29 tahun ditahan sebaik sahaja tiba dengan penerbangan dari Colombo, Sri Lanka pada pukul 8.10 pagi.
"Semasa diperiksa, kita menemui ketamin seberat 10.55kg bernilai RM369,250 dalam peralatan senaman yang dimasukkan ke dalam satu kotak kertas.
"Berdasarkan rekod perjalanan suspek, lelaki itu didapati sudah tiga kali datang ke negara ini dan pernah bekerja sebagai tukang masak di sebuah kedai makan di Sabah," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Chik Omar berkata, tangkapan tersebut adalah kes menyeludup dadah kelapan berjaya dipatahkan oleh pihaknya di KLIA dalam tempoh 15 Mac hingga 4 April lalu.
Beliau berkata, melalui lapan kes tersebut, pihaknya telah merampas dadah jenis ketamin, methamphetamine dan amphetamine sebanyak 39.80 kg bernilai RM3.6 juta.
Katanya, empat kumpulan sindiket yang ditangkap menggunakan modus operandi menyorok dadah dibawa dalam ruang bagasi khas, manakala selebihnya menggunakan kiriman kepada penerima di Kuala Lumpur dan Selangor.
"Kes pertama melibatkan penahanan wanita warga Filipina berusia 38 tahun yang membawa dadah jenis methamphetamine seberat 2.68 kg bernilai hampir RM509,200 dari Kathmandu, Nepal pada 4 April lalu.
"Dalam kes kedua pula, seorang lelaki India berusia 30 tahun ditahan pada Jumaat lalu, di sebuah hotel di Kuala Lumpur bersama amphetamine seberat 5.05 kg yang disembunyi dalam bagasi," katanya.
Selepas itu, katanya, pihaknya menahan seorang penumpang lelaki dan wanita dari Iran yang membawa methamphetamine seberat 2.26 kg bernilai RM429,400 di KLIA dan seorang lelaki India bersama ketamin seberat 14.05 kg bernilai RM491,750.
Dalam pada itu, beliau berkata, kes melibatkan kiriman barang pula terbongkar selepas pihaknya berjaya mengesan satu bungkusan makanan yang di dalamnya terdapat tiga tin susu mengandungi dadah methamphetamine seberat 3.08 kg dikirim dari Chennai, India.
"Kes-kes lain ialah penemuan sekilogram ketamin bernilai RM35,000 dari Mumbai, India pada 29 Mac lalu dan 0.41 kg methamphetamine bernilai RM77,900 pada 2 April lalu yang disorok dalam empat kasut wanita dikirim dari Bangalore, India," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130411/je_09/Kastam-rampas-dadah-bernilai-RM369250-disorok-dalam-peralatan-senaman#ixzz2Q9SuIOtD
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment