Search This Blog

Tuesday, April 23, 2013

Kandungan 2 SMS didedah



 
Petaling Jaya: Kandungan dua khidmat pesanan ringkas (SMS) dalam bahasa Mandarin daripada telefon bimbit ibu kanak-kanak malang, William Yau Zhen Zhong, 6, didedahkan kepada Mahkamah Koroner, semalam.

Antara kandungan SMS yang diterima ibu Zhen Zhong, Goh Ying Ying, 26, pada 22 dan 23 Januari lalu berbunyi:
Anak kamu di dalam tangan kita, kalau nak kembalikan anak kamu, masukkan RM3,000 kepada kita. Tak boleh lapor pada balai polis. Jika lapor kita akan bunuh.

Kamu bayar, anak lelaki kamu dekat Kajang. Tak selamat balik rumah. Kamu minta kita bawa anak lelaki kamu balik dengan selamat. Kena masukkan RM3,000 pada kamu dulu, jangan lapor polis.

Panggilan tak berjawab

Mahkamah diberitahu, kedua-dua SMS itu dibuka dari peti masuk telefon bimbit Ying Ying oleh individu yang tidak dikenali. Namun, apabila cuba dihubungi, ia tidak dijawab.

Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Lee Keng Fatt, Ying Ying berkata, anaknya pernah mengalami kecederaan di bahagian dahi, betis serta siku.
Parut di dahi akibat jatuh

Ying Ying berkata, kecederaan di dahi akibat jatuh dari tangga. Namun, Ying Ying memberitahu, beliau hanya membawa anaknya berubat dengan tabib kerana Zhen Zhong tidak mahu berjumpa doktor.

Terdahulu, Ying Ying menangis teresak-esak ketika enam keping gambar yang memaparkan keadaan mayat anaknya dipaparkan di mahkamah untuk dicam.

Menjawab soalan, Ying Ying memberitahu, hubungan beliau dan anaknya mesra dan mereka selalu bermain bersama-sama. Malah, katanya, Zhen Zhong adalah seorang anak yang comel dan selalu ketawa.

Pada 16 Januari lalu, Zhen Zhong dilaporkan hilang ketika ibu bapanya singgah di sebuah premis barangan elektrik di Putra Heights, Subang Jaya. Sembilan hari kemudian, mayatnya ditemui tersangkut pada tepi bot nelayan di Jeti Sungai Sireh, Pelabuhan Klang.

Hasil siasatan tidak menolak kemungkinan kanak-kanak malang itu terjatuh ke Sungai Klang di Kampung Bukit Lanchong berhampiran Putra Heights sebelum dihanyutkan sejauh 30 kilometer ke lokasi mayatnya ditemui.

Prosiding di depan koroner Mohd Hezri Shaharil bersambung hari ini.

No comments:

Post a Comment