BATU GAJAH - Seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun lapan bulan, lebam di mata kiri, lengan kanan, rusuk kanan dan pipi kanan dipercayai didera pengasuh dalam satu kejadian di Taman Batu Gajah Perdana, di sini, minggu lalu.

Ibu mangsa berusia 31 tahun yang bekerja sebagai pembantu tadbir bertindak membuat laporan polis, pada 4 April lalu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Gajah bagi memaklumkan kejadian berkenaan.

Ketua Polis Daerah Baru Gajah, Asisten Komisioner Shaharon Anuar Abdul Latif berkata, dalam laporan itu, ibu mangsa hanya menyedari insiden menimpa anaknya pada 2 April lalu.

Menurutnya,  selepas membawanya pulang mangsa dari rumah pengasuh kira-kira jam 10.40 malam, ibu mangsa menyedari terdapat kesan lebam di bawah mata kiri dan merah di kedua-dua telinga.

"Akibat merasa curiga terhadap kesan lebam itu, ibu mangsa memeriksa keseluruhan badan dan menemui beberapa kesan kecederaan lain di badan kanak-kanak perempuan terbabit.

“Berdasarkan laporan yang dibuat, mangsa telah dihantar ke rumah pengasuh terbabit sejak Julai 2012 dan kejadian tersebut adalah yang pertama kali berlaku ke atas mangsa," katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Katanya, pada hari kejadian, ibu mangsa menghantar kanak-kanak itu ke rumah pengasuh pada jam 8.30 pagi namun terpaksa mengambil mangsa lewat kerana mempunyai kerja yang perlu diselesaikan di pejabat.

Menurutnya, ibu mangsa cuba menghubungi pengasuh bertanyakan perkara itu namun pengasuh menafikan dan memberi pelbagai alasan.

“Akibat tidak puas hati, ibu mangsa bertindak membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut.

"Susulan kecederaan itu, mangsa dirujuk ke Unit Kecemasan Hospital Batu Gajah, dimasukkan ke Wad 3 untuk pemerhatian lanjut dan dibenarkan keluar lima hari kemudian," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Shaharon Anuar berkata, berdasarkan laporan perubatan dan bukti yang dikumpul, seorang wanita berusia 52 tahun ditahan pada Ahad lalu dan didakwa di Mahkamah Majistret Batu Gajah pada keesokan harinya.

Bagaimanapun, katanya, wanita itu mengaku tidak bersalah dan mahkamah memberikan jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin  serta menetapkan Mei ini untuk tarikh bicara.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 31 (1) Akta Kanak-Kanak 2011 (Penderaan)," katanya.