Harap isteri pulang selesai kes mahkamah
Asri menunjukkan sijil nikah palsu yang perlu diselesaikan isterinya.
KUBANG PASU - Seorang suami masih menanti kepulangan isterinya yang menghilangkan diri sejak beberapa bulan lalu bagi menyelesaikan kes mahkamah yang dihadapi.

Dia yang hanya dikenali sebagai Asri berkata, isterinya gagal ditemui bagi membantu mempercepatkan urusan mahkamah berkaitan kes pemalsuan sijil nikah.

Menurutnya, kehilangan isterinya itu menimbulkan tanda tanya kerana tiada sebarang pesanan yang ditinggalkannya sebelum itu.

“Sehingga kini saya masih mencarinya yang hilang sejak September 2012 kerana masih mempunyai urusan dengan mahkamah yang perlu diselesaikan.

“Kali terakhir saya ternampak dia (isteri) berada di Padang Besar, Perlis dan saya cuba mengekorinya namun gagal menjumpainya," katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, mahkamah beberapa kali menghantar writ saman tetapi tiada maklum balas diterima dan dia memohon isterinya untuk tampil ke mahkamah bagi menyelesaikan kes terbabit.

“Saya memaklumkan kepada rakan-rakan sekitar Perlis dan Kedah bagi membolehkan isteri ditemui dan maklumat berhubung tempat tinggalnya kini masih belum ditemui.

“Saya harap dia (isteri) dapat menampilkan diri secepat mungkin supaya urusan yang dilihat tergantung ini menemui penyelesaiannya,” katanya.