SHANGHAI - China, mengumumkan empat lagi kes jangkitan baru virus H7N9 dengan jumlah keseluruhan maut akibat wabak itu meningkat kepada 19 orang, menurut agensi berita Xinhua, kelmarin.

Dipetik Reuters, pada masa ini, seramai 95 orang dijangkiti virus selesema burung jenis A itu dan kebanyakannya adalah dari timur China.

Mangsa terbaru meninggal dunia Jumaat lalu adalah seorang lelaki dikenali sebagai Xu, 69, dari wilayah Zhejiang.

Pihak berkuasa di wilayah itu turut melaporkan, kesemua pesakit berada dalam keadaan kritikal.

Dalam perkembangan lain, pegawai kesihatan di negara itu mula mempersoalkan, bagaimana virus berbahaya itu tersebar selepas lebih sebahagian daripada pesakit dipercayai tidak terdedah secara langsung dengan ternakan yang dijangkiti H7N9.