Search This Blog

Tuesday, April 16, 2013

Guru sekolah antarabangsa dengar jeritan kuat kanak-kanak



KUALA LUMPUR 15 April - Seorang guru sekolah antarabangsa memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini, beliau mendengar jeritan kuat seorang kanak-kanak yang dalam ketakutan pada pagi kejadian pelajar, Nayati Shamelin Moodliar diculik, tahun lalu.
Jonathan Robert Daley, 38, berkata, sejurus selepas mendengar jeritan itu, dia telah berlari keluar dari kediamannya dan ternampak seorang lelaki sedang menolak seorang kanak-kanak masuk ke dalam sebuah kereta.
Guru berkenaan yang mengajar Pendidikan Fizikal di Sekolah Antarabangsa Mont Kiara di sini turut berkata telah mengejar kereta berkenaan sehingga kenderaan itu membelok dan berada di hadapannya.
''Ketika ini saya berada di tengah-tengah jalan namun saya terpaksa mengelak ke tepi kerana kereta itu terus dipandu laju tanpa ada tanda-tanda untuk berhenti,'' katanya.
Dia bagaimanapun sempat menendang pintu di sebelah bahagian pemandu kereta berkenaan.
Daley yang berasal dari Amerika Syarikat (AS) berkata demikian sebagai saksi pendakwaan pertama pada perbicaraan kes tiga rakan yang didakwa menculik Nayati, seorang kanak-kanak warga Belanda yang bersekolah di sekolah berkenaan.
Chong Tat Siong, 24, yang bekerja sendiri; penjual telefon bimbit Foong Khar Fai, 20; penganggur, Lee Phak Seng, 24; dan seorang lagi yang masih bebas, didakwa menculik kanak-kanak berkenaan yang kini berusia 13 tahun bagi mendapatkan wang tebusan RM300,000.
Kejadian didakwa berlaku di hadapan sekolah itu, di Jalan Kiara 1, Mont Kiara pada pukul 7.30 pagi, 27 April tahun lalu.
Kesemua mereka menghadapi tuduhan mengikut Seksyen 3 Akta Culik 1961 yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan.
Nayati dibebaskan penculiknya di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Rawang arah selatan Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) pada pukul 7.55 pagi, 3 Mei tahun lalu, seminggu selepas diculik di hadapan Sekolah Antarabangsa Mont Kiara.
Dalam keterangannya, guru berkenaan berkata, ketika kejadian beliau dan anaknya baru keluar dari lif lobi kediamannya di Almaspuri Condo, Mont Kiara di sini, untuk ke sekolah berkenaan yang terletak 200 meter dari kediamannya.
Daley juga memberitahu, tidak tahu pelajar di dalam kereta itu adalah pelajar sekolahnya sehinggalah dia dan Guru Besar sekolah itu, Walter Morris menemui buku dan kerja sekolah yang bertaburan di jalan raya.
Guru berkenaan bagaimanapun tidak dapat mengecam pemandu kereta terlibat kerana kejadian itu berlaku dengan pantas.
Dalam perbicaraan itu juga sebanyak lima jurugambar dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields, Mont Kiara dan Bukit Aman tampil memberi keterangan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Raja Rozela Raja Toran dan Jean Sharmila Jesudesan.
Phak Seng diwakili peguam, Chong Joo Tian dan Rejinder Singh mewakili Tat Siong manakala Khar Fai diwakili peguam, Datuk Hanif Hashim.
Perbicaraan di hadapan Hakim Kamardin Hashim bersambung esok.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20130416/ma_01/Guru-sekolah-antarabangsa-dengar-jeritan-kuat-kanak-kanak#ixzz2Qa3nLNj0
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment