Search This Blog

Saturday, April 13, 2013

Geng Ah Soon berakhir



Geng Ah Soon yang bergiat aktif melakukan sekurang-kurangnya 15 kes pecah rumah sekitar Lembah Klang dan melarikan pelbagai kereta mewah dianggarkan jutaan ringgit sejak tahun lalu tumpas apabila ketua sindiket terbabit ditahan dalam sebuah kereta di Bukit Antarabangsa, di sini, Isnin lalu.

Ketika ditahan pada jam 4.30 petang itu, ketua kumpulan terbabit dikenali sebagai Ah Soon turut berada bersama dua lagi ahli kumpulannya berusia 24 dan 39 tahun.


Polis turut merampas peralatan pecah rumah, tiga komputer riba, wang tunai berserta dua set walkie-talkie dalam kereta mereka.

Berikutan penahanan itu, polis menyerbu beberapa lokasi berasingan dan menahan lima lagi ahli geng berkenaan termasuk seorang wanita.


Siasat lanjut, polis merampas tujuh lagi kenderaan curi daripada kumpulan itu membabitkan nilai rampasan dianggarkan RM1.5 juta.


Ketua Polis Daerah Ampang Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin berkata, siasatan mendapati suspek ditahan itu adalah kumpulan sama yang terlepas ketika dikejar polis di Jalan Chan Sow Lin 4, April lalu selepas mereka cuba melarikan sebuah kereta Toyota Harier yang sebelum itu dicuri di Ampang.

Menurutnya, dalam kejadian itu, suspek yang menaiki kereta Mercedes Benz C 200 berwarna hitam melarikan diri dalam serbuan polis di kawasan terbabit, namun polis merampas semula kereta Toyota Harier yang diletakkan berhampiran tempat kejadian.


“Pada 8 April lalu, anggota unit MPV yang menjalankan rondaan mengesan sebuah kereta Toyota Camry di Bukit Antarabangsa dalam keadaan mencurigakan sebelum menahan mereka.

“Hasil pemeriksaan menemui pelbagai peralatan pecah rumah, parang, komputer riba, walkie-talkie dan beberapa set kunci kereta mewah sebelum mereka dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang, semalam.


Amiruddin berkata, hasil soal siasat mendapati mereka kumpulan sama yang bergiat aktif sejak tahun lalu melakukan pecah rumah dan melarikan kenderaan mewah.


“Susulan itu, polis menyerbu rumah suspek dan lokasi tempat penyimpanan barang di sekitar Lembah Klang sebelum merampas sebuah kereta Proton Waja yang dilaporkan hilang di Petaling Jaya pada 17 Mac lalu, 13 kunci kereta pelbagai jenis, lapan alat penggera kereta, tiga kad kredit dan tujuh keping Touch N Go.


“Siasatan lanjut seterusnya membawa pasukan polis ke Serdang dan merampas sebuah kereta Mercedes Benz C 200 yang diletakkan di tepi jalan dan kereta terbabit adalah kenderaan sama ketika kejadian di Jalan Chow Sow Lin 4 serta dilaporkan hilang pada 2 April lalu di Wangsa Melawati,” katanya.


Beliau berkata, pada jam 2.10 petang Selasa lalu, polis menyerbu sebuah rumah di Seri Kembangan dan menahan empat lelaki dan seorang wanita serta merampas pelbagai kunci kereta.


“Kami merampas dua kereta iaitu Proton Perdana dan Toyota Altis yang masing-masing dilaporkan hilang di Petaling Jaya dan Sungai Besi.


“Dalam tangkapan terbaru petang kelmarin, polis menemui sebuah kereta BMW 320i warna hitam di Batu 9, Cheras yang dilaporkan hilang pada 4 April lalu,” katanya.


Menurutnya, semua suspek berusia 24 dan 39 tahun itu kini direman sehingga Isnin ini bagi siasatan kes samun, pecah rumah dan melarikan kereta di sekitar Ampang Jaya.


“Malah, semua mereka positif dadah jenis syabu dan mempunyai 11 rekod jenayah lampau membabitkan dadah, curi kenderaan dan pecah rumah,” katanya.

No comments:

Post a Comment