Search This Blog

Sunday, April 14, 2013

Filipina benar AS bina pangkalan tentera



MANILA 13 April - Amerika Syarikat (AS) akan dibenarkan membina pangkalan tentera mereka di negara ini jika berlaku peperangan dengan Korea Utara.
Setiausaha Luar Filipina, Albert del Rosario berkata, kebenaran itu berdasarkan kepada perjanjian persefahaman ketenteraan di antara negara ini dengan AS.
"Perjanjian persefahaman ketenteraan ini memerlukan tindakan bersama, sama ada Filipina atau AS diserang," katanya kepada AFP berikutan dengan ketegangan yang berlaku di Semenanjung Korea sejak kebelakangan ini.
Beliau menambah, dalam hal itu, amat jelas sekiranya serangan berlaku terhadap Filipina atau pakatan sekutu dalam pertahanan itu, AS akan dibenarkan untuk menggunakan pangkalan tentera Filipina.
Semenanjung Korea kini kelihatan tegang dan diancam perang nuklear sejak Korea Utara melancarkan ujian roket pada Disember dan ujian nuklear pada Februari lalu.
Semalam, Setiausaha Pertahanan Filipina, Voltaire Gazmin berkata, kerajaan akan mengambil tindakan ekstrem termasuk membenarkan pembinaan pangkalan AS di sini.
AS dan Filipina merupakan rakan sekutu semenjak 1951 melalui perjanjian pertahanan bersama.
Pada awal tahun 1990-an, AS mempunyai Pangkalan Tentera Udara Clark dan Pangkalan Tentera Laut Subic di Filipina yang digunakan semasa Perang Vietnam.
Bagaimanapun, pangkalan itu tidak bertahan lama disebabkan masalah penyewaan yang menemui jalan buntu. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130413/lu_17/Filipina-benar-AS-bina-pangkalan-tentera#ixzz2QPMRW2xE
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment