Search This Blog

Saturday, April 27, 2013

Dua pelajar Malaysia dilanggar van di UK



 
Portsmouth: Dua pelajar Malaysia di Universiti Portsmouth, di sini, cedera termasuk seorang parah akibat dilanggar van ketika menyeberang jalan menuju ke perhentian bas, petang Selasa lalu.

Dalam kejadian pada jam 5.50 petang itu, Zahidah Aimi Mohd Zak, 22, berasal dari Terengganu, patah tulang pinggul, retak tulang rusuk dan pendarahan pada buah pinggang, manakala rakannya, Yamuna Saundari Subramaniam, 22, dari Kedah pula luka di muka.
Kedua-dua pelajar tahun akhir jurusan Pengajian Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL) itu dimasukkan ke Hospital Queen Alexandra, di Cosham, tetapi Yamuna Saundari dibenarkan keluar, semalam.

Yamuna Saundari berkata, kemalangan berlaku ketika mereka dalam perjalanan dari rumah ke perpustakaan apabila secara tiba-tiba, sebuah van melanggar mereka dari arah kanan jalan.

Ketika melintas jalan, saya nampak van itu datang dari sebelah kanan kami. Saya cuba menolak Zahidah Aimi tetapi gagal, mengakibatkan saya terjatuh dilanggar van itu.

Van sama kemudian melanggar Zahidah Aimi, katanya ketika ditemui di Hospital Queen Alexandra, kelmarin.

Pemandu disyaki mabuk
Seramai 52 pelajar Malaysia di Portsmouth dengan majoritinya ialah pelajar TESL. Akhbar tempatan di Portsmouth pula melaporkan, pemandu van itu sudah ditangkap kerana disyaki memandu dalam keadaan mabuk.

Sementara itu, Zahidah Aimi berkata, kejadian berlaku dengan pantas dan beliau hanya sedar ketika berada dalam ambulans untuk dibawa ke hospital.

Saya masih tidak boleh bergerak dan terus menerima rawatan di sini sehingga pulih, katanya.

Jabatan Penuntut Malaysia di London sudah memaklumkan kejadian itu kepada ibu bapa Zahidah Aimi dan Yamuna Saundari, malah mereka turut menerima lawatan Atase Pendidikan, Sharul Nizam Mahfudz di hospital.

No comments:

Post a Comment