Search This Blog

Sunday, April 14, 2013

Doktor ‘mak nyah’ dicekup

Doktor ‘mak nyah’ dicekup
Hock Sing (kanan) menunjukkan gambar suspek manakala Sarjan Mohd Yusoff Othman menunjukkan sijil perakuan amalan palsu di IPK Bukit Beruang, Melaka, semalam. - Foto Khairul Helmy 

Ayer Keroh: Polis menahan seorang ‘mak nyah’ yang menyamar sebagai doktor sambilan di lima klinik swasta di negeri ini sejak awal tahun ini, Khamis lalu.

Lelaki berusia 26 tahun itu yang menggunakan gelaran ‘Dr Ika’ dan berlagak wanita dengan berbaju kurung dan bertudung dipercayai menggunakan sijil perakuan amalan tahunan dan cop tidak sah untuk merawat pesakit.
Difahamkan, suspek yang berasal dari Sabah pernah menuntut di sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) di Johor dalam jurusan kejuruteraan dan kolej kejururawatan di Selangor namun gagal menamatkan pengajiannya.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil negeri, Superintendan Soh Hock Sing, berkata suspek ditangkap ketika pihaknya melakukan serbuan di sebuah klinik di Batu Berendam di sini pada jam 6 petang.

Pelanggan buat aduan

“Pengusaha klinik itu mendakwa menerima aduan daripada pelanggan yang mencurigai lelaki lembut berkenaan dan pemeriksaan lanjut kemudian mendapati suspek menggunakan sijil perakuan amalan palsu.

“Bertindak atas laporan polis yang dibuat, kita menjalankan siasatan dan pemantauan sebelum menyamar sebagai pelanggan dan menahan suspek bagi membantu siasatan,” katanya di Ibu Pejabat Kontinjen Polis (IPK) negeri di sini, semalam.
Hock Sing berkata pihaknya turut merampas sijil perakuan amalan tahunan palsu tertera nama suspek yang didakwa dikeluarkan Majlis Perubatan Malaysia (MMC) selain cop berkaitan yang digunakan ketika memohon berkhidmat di klinik terbabit.

“Siasatan awal mendapati nama suspek tidak wujud dalam sistem MMC. Kita percaya suspek sudah bekerja di lima klinik swasta di sekitar Batu Berendam, Sungai Udang dan Melaka Baru sejak awal tahun ini.

“Selain itu, dia dipercayai aktif sejak tahun lalu dan pernah bekerja di klinik di dua negeri lain iaitu Perak dan Pahang,” katanya.

Beliau berkata suspek direman sehingga esok bagi membantu siasatan yang dijalankan mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan iaitu menyamar untuk melakukan penipuan.

Sehubungan itu, beliau meminta pengusaha klinik supaya terlebih dulu menjalankan pemeriksaan menyeluruh termasuk mendapatkan pengesahan daripada MMC jika mahu mengambil doktor bekerja di premis mereka.

“Ini kerana dalam kes ini misalnya, kita khuatir ubat-ubatan yang diberikan suspek berkemungkinan mendatangkan mudarat kepada pesakit,” katanya sambil menambah pesakit yang pernah dirawat suspek perlu tampil bagi membantu siasatan.

No comments:

Post a Comment